Rakyat tidak perlu pembelian panik, bekalan sambutan Aidilfitri mencukupi – Mohamad Sabu

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengingatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan daging dan ayam di negara ini mencukupi bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Semua (bekalan) mencukupi. Jangan buat pembelian panik. Ertinya kalau berniat nak beli empat ekor (ayam), biarlah empat ekor.

“Tak payahlah buat pembelian panik kerana bekalan mencukupi sampai bulan lima atau bulan enam (tahun) ini.

“(Bekalan) masih dalam keadaan stabil insya-Allah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Dividen Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Majlis Iftar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) 2026 di Petaling Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, daripada segi harga barangan, ia masih lagi kekal dan tidak akan mengalami kenaikan walaupun berlaku peperangan di Asia Barat membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Bagaimanapun katanya, harga barangan itu berkemungkinan akan mengalami kenaikan dalam masa tiga atau empat bulan akan datang.

“Ini disebabkan apabila harga petrol naik, kita akan lihat kenaikan harga semua ini. Kesannya mungkin dalam tiga empat bulan lagi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga akan membuat pemantauan terhadap kenaikan harga barangan itu dari semasa ke semasa.

“Kita juga akan ambil pandangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF) dan semua yang terlibat.

“Ini disebabkan barang yang ada sekarang ini adalah barang yang disediakan dulu. Jadi kesan perang ini mungkin akan dirasai tiga bulan lagi,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img