WALAUPUN terdapat kejadian letupan bom di Si Sakhon, Narathiwat pada 9 Mac lalu, diikuti serangan bom di Yala pada 10 Mac dan kejadian seorang anggota puak pemisah ditembak mati oleh pasukan keselamatan di Nong Chik Pattani pada 11 Mac, disusuli pula pada 16 Mac seorang anggota keselamatan dan seorang anggota puak pemisah terbunuh dalam operasi pengepungan di daerah yang sama, namun ia tidak menggugat aktiviti umat Islam beribadah pada bulan Ramadan ini.
Penulis bersyukur memandangkan sebelum ini saban tahun ada sahaja serangan dilakukan oleh puak pemisah ketika bulan puasa sehinggakan tercetusnya istilah Ramadan Berdarah. Bagaimanapun tahun ini ia tidak terjadi dan diharapkan ia kekal bukan sahaja sehingga Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi tetapi juga selama-lamanya.
Suasana yang dianggap aman itu membuktikan bahawa Barisan Revolusi Nasional (BRN) boleh melakukannya jika mereka mahu, apa yang penting ialah iltizam dan keikhlasan. Oleh itu sama ada Cabang Politik mahupun Cabang Militer, mereka boleh melihat sendiri bagaimana gembiranya umat Islam dapat beribadah dengan tenang di bulan suci ini dan menyambut Aidilfitri.
Kegembiraan itu seharusnya dijadikan motivasi kepada mereka untuk memahami bahawa permusuhan, peperangan atau konflik tidak mendatangkan apa-apa faedah sebaliknya hanya menjemput kesengsaraan kepada umat Islam dan mendatangkan petaka kepada wilayah berkenaan.
Apapun kemahuan, apa juga tuntutan, peperangan bukanlah pilihan bijak sebaliknya hanya memburukkan lagi keadaan.
Lihatlah apa yang berlaku apabila Amerika Syarikat dan Israel memutuskan untuk menolak meja rundingan damai dan segera menyerang Iran. Serangan itu dilakukan kerana mereka mempunyai misi memusnahkan Iran bukannya demi keselamatan global. Akibatnya ekonomi dunia menjadi tidak menentu, harga minyak dijangka meningkat dan pasaran kewangan akan terjejas.
Begitulah juga keadaan di Selatan Thailand, kalau pendekatan kekerasan digunakan seperti serangan bom, ia tidak mendatangkan apa-apa faedah. Yang akan menjadi mangsa ialah rakyat manakala sebagai pemerintah yang sah kerajaan Thailand tidak ada pilihan selain mempertahankan kedaulatan wilayah di negara itu dan melindungi nyawa penduduk.
Oleh itu Cabang Politik dan Cabang Militer perlu duduk semeja mencari titik persamaan bagi membolehkan mereka bersatu hati bagi mewujudkan kedamaian di Selatan Thailand. Mereka mampu melakukannya.
Sesungguhnya dengan rahmat Allah SWT, Ramadan di wilayah itu kali ini dianggap aman dan damai.
Suasana itu membolehkan umat Islam ke masjid dengan tenang, berbuka puasa dengan keluarga penuh ceria dan membuat persiapan menyambut Aidil Fitri dengan gembira. Mereka tidak bimbang apa-apa. Justeru janganlah biarkan ketenangan, keceriaan dan kegembiraan dirampas apabila Ramadan dan Aidilfitri berakhir.
Konflik di wilayah itu sudah 22 tahun berlaku. Seharusnya ia ditamatkan dengan menjadikan Ramadan kali ini sebagai pencetus semangat. BRN boleh memilih jalan damai dalam membuat tuntutan.
Jika mereka bersedia terlibat dalam dialog proses damai dengan pemerintah Thailand, kenapa tidak menghentikan keganasan bagi membolehkan rundingan untuk membawa keamanan dan kestabilan di Selatan Thailand tercapai?
Atas sebab itulah Cabang Politik dan Cabang Militer perlu duduk semeja, bincang hati ke hati bagaimana mahu memastikan apa yang mereka perjuangkan atau mereka tuntut dipenuhi oleh pemerintah Thailand.
Dalam proses rundingan itu Cabang Politik boleh kemukakan apa yang mereka mahu, begitu juga Cabang Militer. Masalah sekarang ialah Cabang Politik mahu ke meja rundingan manakala Cabang Militer terus angkat senjata. Keadaan itu menyebabkan apapun yang dibincangkan dan dicapai dalam proses rundingan damai tidak akan bermakna, jika Cabang Militer tidak sepakat.
Keadaan itu jugalah yang memungkinkan walaupun proses rundingan damai sedang berlangsung, keganasan tetap berlaku. Sepatutnya apabila kedua-dua pihak memutuskan untuk berunding segala kegiatan ganas dihentikan.
Bagaimanapun disebabkan tidak ada kesepakatan antara Cabang Politik dan Cabang Militer maka proses rundingan damai dilihat sia-sia sedangkan hakikatnya sedikit sebanyak sudah ada perkara positif yang dicapai.
Justeru diharapkan kedua-dua cabang itu akan menjadikan kedamaian pada Ramadan dan Aidilfitri tahun ini sebagai azimat bagi memastikan Selatan Thailand terus damai. Penulis percaya BRN sama ada pemimpin Cabang Politik mahupun Cabang Militer juga mahu hidup aman.
Sampai bila mereka mahu meneruskan perjuangan sia-sia? Sudah 22 tahun mereka melakukannya tetapi tiada apa-apa hasil. Kalaulah jalan perjuangan yang mereka pilih benar sudah pasti Allah SWT memberikan kemenangan.
Tetapi setakat ini, segala tindakan mereka tiada erti apa-apa. Sebaliknya hanya sia-sia, membuang masa dan tenaga. Paling malang insan tidak berdosa diseret sehingga ramai menjadi korban yang tidak sepatutnya.
Jadi pilihlah jalan damai demi masa depan wilayah tersebut. Jalan itu masih ada dan masih wujud…Ramadan 2026 membuktikannya!
Semoga Aidiifitri kali ini benar-benar bermakna untuk umat Islam di wilayah itu menyambutnya penuh keceriaan serta ketenangan, bukannya keganasan dan kesengsaraan. – SALAM AIDIL FIRI MAAF ZAHIR BATIN.


