KEPUTUSAN Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengekalkan larangan penggunaan imam luar negara untuk solat tarawih sepanjang Ramadan bukan bertujuan menutup pintu, sebaliknya membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak tahfiz tempatan.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, Selangor mempunyai ramai pelajar tahfiz yang bukan sahaja mahir dalam hafazan al-Quran, malah memiliki bacaan yang baik serta layak diberi kepercayaan untuk mengimamkan solat di masjid dan surau.

Menurut beliau, timbul persoalan mengapa perlu mengimport imam dari luar negara dan membayar mereka, sedangkan negeri ini mempunyai ribuan anak tahfiz yang berpotensi serta memerlukan ruang untuk membina pengalaman dan menjana sumber pendapatan secara bermaruah.
“Kenapa tidak kita guna kesempatan ini untuk beri peluang kepada anak-anak tempatan? Selain membantu kewangan mereka, ia juga mendedahkan pelajar tahfiz untuk memimpin jemaah dan membina keyakinan sejak usia muda,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Hafazan Al-Quran 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz 2025 di Sepang semalam.
Tambah beliau, dengan lebih 2,000 surau dan lebih 400 masjid di Selangor, peluang terbuka luas untuk anak-anak tahfiz tempatan memakmurkan rumah ibadat sekali gus melahirkan barisan imam muda yang berkualiti untuk masa depan ummah.
Keputusan tersebut juga selari dengan keprihatinan Sultan Selangor terhadap pembangunan bakat tahfiz tempatan agar terus diperkasakan dan tidak dipinggirkan di negeri sendiri.


