“Hasil pemeriksaan ke atas sampan menemui beberapa bungkusan kotak mengandungi peranti vape dan cecair pelbagai perisa yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
“Kesemua peranti vape itu yang disita berjumlah 9,400 unit dan dianggarkan bernilai RM454,000 serta membabitkan duti atau cukai sebanyak RM95,340,” katanya pada sidang media di Pangkalan Marin Kastam, Kuala Perlis hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, pihaknya turut menyita sampan bersama enjin yang dianggarkan bernilai RM50,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan lain, sindiket pengedaran dadah gagal membawa masuk 20 ketulan mampat disyaki ganja bernilai RM62,000 ke pasaran utara dan Lembah Klang selepas ia berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Perlis.
Ismail berkata, dadah itu ditemui dalam dua bungkusan guni yang ditinggalkan di tebing sungai di Kampung Bukit Takpo pada jam 10 malam, 10 Februari lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas guni itu mendapati 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis yang disyaki dibawa dari negara jiran.
Ismail berkata, harga pasaran bagi sekilogram ganja berkenaan sekitar RM3,100 dan jika terlepas, ia boleh digunakan oleh 30,400 penagih.
“Modus operandi mereka adalah dengan meninggalkan guni berisi dadah di tebing sungai sebelum dipungut sindiket lain jika ada peluang.
“Kawasan itu agak sunyi menyebabkan sindiket mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan pengedaran dadah di situ terutama pada waktu malam, ” katanya.
Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.