Rasuah: Bekas setiausaha sulit kanan bekas menteri dipenjara enam tahun, didenda RM8.8 juta

BEKAS setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta berkaitan tender pengiklanan, tujuh tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 34, gagal menimbulkan keraguan munasabah, di akhir kes pembelaannya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda, dia boleh dipenjara selama tujuh tahun.

Mendengar keputusan itu, Mohd Saifullah, 34, yang memakai kot biru menangis teresak-esak ketika berada di kandang tertuduh.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan tertuduh menangguhkan hukuman itu sementara menunggu rayuan dibuat.

Mahkamah kemudiannya menaikkan jumlah ikat jamin kepada RM280,000 dengan syarat tambahan, melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mengikut lapan pertuduhan itu, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1.765 juta daripada pemilik sebuah syarikat melalui seorang individu sebagai dorongan untuk tertuduh berjanji mendapatkan tender Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative).

Ia bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat itu ‘Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020’ secara rundingan terus kepada sebuah lagi syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi, sekitar Kuala Lumpur dan Dengkil antara 21 Disember 2018 dan 1 Mac 2019. “Saya berharap hukuman ini dapat menginsafkan kamu dan mengelakkan kamu daripada melakukan sebarang kesalahan pada masa akan datang. Kamu masih muda, saya berharap kamu benar-benar insaf dan berubah,” kata Hakim Suzana.

Peguam bela Asyraaf Abu Bakar Hamzah dalam rayuannya berkata tertuduh masih muda dan baru berusia 28 tahun ketika kesalahan dilakukan.

“Tertuduh juga masih naif dalam hal ehwal politik sehingga diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu. Saya percaya tertuduh mempunyai masa depan yang cerah dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menegaskan bahawa hukuman berat perlu dikenakan memandangkan tertuduh memegang jawatan penting dan menerima suapan dalam jumlah besar sehingga mempengaruhi proses tender.

“Perbuatan tertuduh sebagai SUSK bukan sahaja mencemarkan nama baik keluarga, malah mencalarkan imej jabatan dan kerajaan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img