SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai berjumlah RM4.4 juta, selain jongkong emas seberat 3.7 kilogram (kg) dengan nilai RM2.5 juta menerusi Op Parasit dengan nilai keseluruhan berjumlah RM11.4 juta.
Turut disita, mata wang wang asing bernilai RM1.4 juta, satu unit Range Rover SVR bernilai RM360,000, barang kemas (RM294,039), dua cincin berlian (RM20,000) dan medalion emas 150 gram dengan nilai RM102,000.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes ini berhubung dakwaan berkaitan penerimaan wang rasuah dan salah guna kuasa yang disyaki melibatkan Panglima Tentera Darat (PTD).

“Ia melibatkan transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke beberapa akaun dengan jumlah daripada RM40,000 hingga ratusan ribu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Menurut Azam, sebanyak 75 akaun turut dibekukan dengan anggaran nilai sebanyak RM32.5 juta.
“Jadi, dalam kes ini, penyitaan aset telah dibuat di dua lokasi masing-masing di sebuah residensi di Kuala Lumpur dan di Besut, Terengganu.
“Pegawai saya terpaksa ke Terengganu dua kali bagi mendapatkan barang-barang kes ini berdasarkan maklumat yang diterima.
“Kita pamerkan barang-barang ini bukan untuk ‘showcase’, tetapi sebagai barang bukti supaya maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah betul,” katanya.
Pada masa yang sama, Azam berkata, 23 individu turut ditahan melibatkan siasatan kes tender perolehan membabitkan bekas PTD.
Selain itu, katanya, SPRM juga membuka 22 ‘predicate offense’ dan satu kertas melibatkan penggubahan wang haram.
“Jadi, untuk maklumat semua, siasatan masih kita teruskan. Namun demikian, dalam beberapa kertas siasatan berkenaan, saya telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk menyegerakan siasatan ini pada minggu hadapan,” katanya.


