SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan sebanyak 12 akaun bernilai keseluruhan RM4.7 juta bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkaitan perolehan pembekalan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rampasan berkenaan melibatkan sitaan beberapa buah kenderaan, sejumlah wang tunai termasuk mata wang asing, jongkong emas serta pembekuan beberapa akaun syarikat dan peribadi.

“Menerusi Op STAR yang dimulakan sejak 7 Oktober tahun lalu, SPRM telah menyita dua kenderaan mewah iaitu Mercedes-Benz A180 class dan Toyota Vellfire, sebuah Proton Iriz serta dua motosikal jenis Yamaha Xmax 250 dan Honda ADV 150.
“Turut disita adalah wang tunai berjumlah RM1.3 juta serta mata wang asing bernilai RM721,000. Selain itu, sejumlah 66 jongkong emas seberat 2.49 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM1.7 juta turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.
Menurut Azam, sepanjang Op STAR itu juga, seramai 15 individu telah ditahan terdiri daripada dua pegawai tinggi ATM, empat pegawai kanan ATM dan sembilan orang awam.
“Selain itu, SPRM juga telah merakam percakapan seramai 35 orang saksi dan status terkini kes berkenaan berada di peringkat akhir bagi pertuduhan,” ujarnya.
Op STAR diadakan oleh SPRM berikutan wujud dakwaan beberapa pegawai tinggi ATM disyaki telah meminta dan menerima rasuah daripada syarikat-syarikat.
Rasuah ini dipercayai berkait dengan perolehan pembekalan TKAT dan MINDEF. Selain itu mereka yang terlibat disyaki menyalahgunakan dana TKAT untuk kepentingan peribadi dan aktiviti-aktiviti yang tidak berkaitan dengan tabung kebajikan tersebut.


