Rasuah tender: Di mana rantaian tanggungjawab Tentera Darat?

Oleh Shahbudin Embun

DAKWAAN rasuah melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan dua isterinya telah mengejutkan negara serta mencalar imej sebuah institusi yang selama ini berdiri sebagai benteng kedaulatan dan simbol disiplin. Namun persoalan paling besar yang wajar ditanya bukan sekadar siapa yang dituduh, tetapi bagaimana sistem membenarkan perkara seperti itu berlaku.

Hakikat yang perlu ditegaskan sejak awal ialah seorang panglima tidak bekerja bersendirian.

Dalam struktur Tentera Darat, PTD dikelilingi oleh lapisan kepimpinan tertinggi  seperti Penasihat Ketenteraan, Ketua-ketua Jabatan, pegawai kanan staf, serta pelbagai jawatankuasa yang berfungsi memberi nasihat, membuat semakan dan menyediakan tapisan profesional sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.

 Maka timbul persoalan di manakah mereka semua ketika keputusan-keputusan kritikal ini dibuat?

Adakah para penasihat ini gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk menasihati PTD secara jujur dan profesional? Atau lebih membimbangkan, adakah wujud dalam kalangan ketua-ketua jabatan yang mengaburi mata dan fikiran Panglima, demi menjaga kepentingan peribadi, jawatan dan laluan kenaikan pangkat?

Jika kes ini melibatkan perolehan dan tender, maka persoalan seterusnya menjadi lebih jelas dan lebih serius. Di manakah Jawatankuasa Tender?

Tender tidak diluluskan oleh seorang individu. Ia melalui proses, minit mesyuarat, sokongan teknikal, penilaian kewangan dan kelulusan berperingkat. Jika wujud unsur rasuah, maka ia sama ada berlaku kerana kelalaian kolektif atau kesepakatan senyap.

Dalam masa yang sama, Tentera Darat mempunyai Jabatan Inspektorat yang bertanggungjawab sebagai “mata dan telinga” institusi yang mengaudit, memeriksa dan mengesan sebarang ketidakpatuhan, khususnya dalam hal jawatan dan kewangan. Maka soalan yang tidak boleh dielak ialah adakah Jabatan Inspektorat gagal menjalankan tugas, atau lebih malang, turut terlibat?

Jika audit dilaksanakan dengan betul, anomali kewangan tidak mungkin terlepas bertahun-tahun. Jika pemeriksaan dibuat secara berkala dan bebas, bau rasuah pasti dapat dikesan lebih awal. Kegagalan mengesan sama ada menandakan ketidakcekapan sistemik atau kompromi integriti

Dalam konteks ini, menahan dan menyiasat seorang PTD sahaja bukanlah keadilan yang sebenar, dan bukan juga pembaharuan yang tulen. Rasuah berskala besar tidak hidup dalam ruang vakum. Ia memerlukan kelulusan, perlindungan, pembisuan dan kerjasama sama ada secara aktif atau pasif.

Jika benar prinsip “command responsibility” ingin ditegakkan, maka ia mesti diaplikasikan secara menyeluruh. Mereka yang meluluskan tender, mengurus proses, menyediakan kertas sokongan, menutup mata dalam audit, atau gagal menegur apabila perlu ditegur, semuanya wajar disiasat tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Tentera Darat tidak akan menjadi lebih kuat hanya melalui tindakan ke atas seorang sahaja. Ia hanya akan menjadi lebih kuat apabila keseluruhan rantaian tadbir urus dibersihkan, dan budaya “asal bos selamat” atau “asal aku naik pangkat” dihentikan.

Jika tidak, episod ini hanya akan menjadi satu lagi kisah – seorang panglima tumbang, tetapi sistem yang melahirkannya kekal rosak dan menunggu mangsa seterusnya.

*Penulis sdalah Pengerusi Biro Kepimpinan & Pentadbiran Negara Majlis Perundingan Melayu (MPM)

*Hantarkan komen dan artikel anda kepada editor@utusanmelayuplus.com

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img