Rejim Zionis melancarkan serangan di utara Gaza beberap jam sebelum Kabinet negara itu meluluskan pelan damai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi melaksanakan gencatan senjata di Gaza dan pembebasan semua tebusan yang ditahan Hamas.
Serangan ke atas sebuah bangunan di Bandar Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya dua orang serta menyebabkan lebih 40 lagi terperangkap di bawah runtuhan, menurut Pasukan Pertahanan Awam Palestin.
Sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terbunuh dan 49 lagi cedera dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata Kementerian Kesihatan Gaza.
Seorang pegawai tentera Israel yang enggan dikenali menurut garis panduan tentera berkata, Israel sedang menyerang sasaran yang dianggap mengancam tenteranya ketika mereka sedang menukar kedudukan.
Hamas mengecam serangan itu, dengan menuduh Netanyahu cuba “mengelirukan keadaan dan mengganggu” usaha pihak perantara bagi menamatkan perang di Gaza.
Bagaimanapun kenyataan ringkas daripada Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyebut bahawa Kabinet telah meluluskan “gambaran awal” perjanjian bagi pembebasan tebusan, tanpa menyentuh aspek lain dalam rancangan itu yang lebih kontroversial.
Pelan gencatan senjata yang lebih menyeluruh itu masih menimbulkan banyak persoalan yang belum terjawab, termasuk sama ada Hamas akan melucutkan senjata dan siapa yang akan mentadbir Gaza selepas perang.
Namun, kedua-dua pihak dilihat lebih hampir berbanding beberapa bulan lalu dalam usaha menamatkan perang yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin, memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza, menyebabkan kebuluran di beberapa kawasan, serta meninggalkan puluhan tebusan sama ada masih hidup atau telah mati di Gaza.
Perang yang bermula dengan serangan berdarah oleh Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 itu juga telah mencetuskan konflik lain di rantau tersebut, mengundang protes di seluruh dunia dan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.
Kira-kira 1,200 orang terbunuh dalam serangan yang diketuai Hamas, dan 251 orang lagi dijadikan tebusan. Dalam serangan balas Israel yang menyusul, lebih 67,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan hampir 170,000 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, yang tidak membezakan antara orang awam dan pejuang tetapi menyatakan kira-kira separuh daripada korban adalah wanita dan kanak-kanak.
Seorang pegawai kanan Hamas dan ketua perunding, Khalil al-Hayya, dalam satu ucapan semalam telah menjelaskan elemen utama perjanjian gencatan senjata itu: Israel akan membebaskan sekitar 2,000 tahanan Palestin, membuka lintasan sempadan dengan Mesir, membenarkan kemasukan bantuan, dan mengundurkan tenteranya dari Gaza.
Khalil al-Hayya turut menyatakan bahawa semua wanita dan kanak-kanak yang ditahan di penjara Israel juga akan dibebaskan. Beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai sejauh mana pengunduran tentera Israel dari Gaza itu akan dilakukan.
Al-Hayya berkata pentadbiran Trump dan para perantara telah memberi jaminan bahawa perang telah berakhir, dan bahawa Hamas serta kumpulan Palestin lain kini akan menumpukan kepada usaha mencapai penentuan nasib sendiri serta menubuhkan sebuah negara Palestin.
“Kami mengisytiharkan hari ini bahawa kami telah mencapai perjanjian untuk menamatkan perang dan pencerobohan terhadap rakyat kami,” kata Al-Hayya dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada malam Khamis.
Dalam perkembangan lain, pegawai Amerika Syarikat mengumumkan bahawa mereka akan menghantar kira-kira 200 anggota tentera ke Israel bagi membantu menyokong dan memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata itu sebagai sebahagian daripada pasukan pemantau antarabangsa yang lebih besar. Para pegawai tersebut bercakap dengan syarat tidak dinamakan kerana butiran berkenaan belum dibenarkan untuk diumumkan secara rasmi.



