SEORANG remaja perempuan maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal dinaiki terbabas selepas bergesel pada besi penghadang jalan di Jalan Olak Lempit – KLIA Kuala Langat, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, maklumat kejadian diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) pada pukul 1.15 petang.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda dinaiki hilang kawalan lalu bergesel dengan besi penghadang jalan.
“Insiden itu menyebabkan kedua-dua mangsa perempuan berusia 18 tahun tercampak ke tengah jalan. Pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang cedera di tangan serta kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh tampil menyalurkan maklumat.


