SEORANG remaja perempuan maut selepas tercampak keluar dari keretanya dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Lingkaran Tengah Utama (CSR) arah Raub, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kemalangan pukul 7.23 malam itu kenderaan mangsa yang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Raub hilang kawalan di lokasi kejadian.
“Kenderaan mangsa terbabas ke dalam longkang di bahu jalan dan berpusing ke arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang berusia 19 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala,” katanya kepada media.
Pemandu kenderaan itu, seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun, mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
Berikutan kejadian tersebut kata beliau sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang melalui laluan sama turut hilang kawalan, ketija cuba mengelak sebelum melanggar besi penghadang jalan.
“Pemandu serta tiga penumpang termasuk seorang bayi masing-masing berusia antara satu hingga 74 tahun dalam kenderaan berkenaan mengalami kecederaan ringan. Turut terlibat juga sebuah lagi kenderaan jenis Ford Ranger di laluan sama dipercayai hilang kawalan susulan kemalangan itu dan terbabas ke dalam longkang konkrit 30 meter dari lokasi kejadian,” katanya.


