NAMA restoran Rembayung milik pempengaruh media sosial dan usahawan makanan, Khairul Aming, yang diumumkan semalam terus menjadi bualan ramai apabila istilah itu dipercayai tidak berasal daripada mana-mana kamus rasmi, sebaliknya berkemungkinan besar merupakan akronim rekaan beliau sendiri.
Menurut sasterawan, Prof Madya Dr Lim Swee Tin, perkataan tersebut tidak mempunyai sebarang rekod dalam rujukan bahasa utama, sekali gus menunjukkan ciri-ciri sebagai istilah yang dibentuk sendiri.
Beliau menjelaskan bahawa penciptaan perkataan baharu tanpa rujukan lazimnya tergolong dalam kategori akronim atau gabungan huruf yang dirumus sendiri oleh pengguna bahasa.
“Istilah itu tidak terdapat dalam kamus. Berdasarkan pemerhatian saya, ia kelihatan seperti ungkapan yang dicipta sendiri. Sekiranya sesuatu perkataan itu direka, maka ia lazimnya berbentuk akronim,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus hari ini.
Tambahnya, beliau sendiri masih mencari maksud tepat bagi perkataan berkenaan.
“Saya turut meneliti asal-usulnya dan sehingga kini masih belum menemukan makna yang sesuai,” jelasnya.
Namun Swee Tin tidak menolak kemungkinan bahawa istilah tersebut mungkin diambil daripada bahasa sukuan atau salah satu dialek etnik, memandangkan keluasan pengetahuan dan kreativiti Khairul Aming dalam menghasilkan jenama baharu.
“Ada kemungkinan perkataan itu dipinjam daripada bahasa sukuan atau dialek tertentu. Kemungkinan itu tetap ada,” ujarnya.
Khairul Aming semalam membuat pendedahan dalam media sosial telah menyimpan projek tersebut selama setahun sebelum mengumumkan pembukaan sebuah restoran bernilai RM4 juta yang dinamakan Rembayung.


