PROSES kemasukan warga asing ke negara ini tergendala hari ini berikutan gangguan sistem pada pintu automatik imigresen di dua pusat pemeriksaan darat Johor-Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.
Situasi itu menyebabkan puluhan ribu warga asing terpaksa menunggu dalam barisan yang panjang.
Warga asing yang ingin memasuki Malaysia terpaksa menunggu sehingga dua jam untuk menyelesaikan proses imigresen di kompleks tersebut sehingga memaksa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) membuka kaunter secara manual sebagai langkah alternatif, lapor The Star.
Difahamkan terdapat masalah pada mesin-mesin di BSI sejak beberapa hari kebelakangan ini, namun ia mengalami kegagalan sepenuhnya hari ini susulan kemasukan besar-besaran pengembara yang melintasi tambak dari Singapura ke Johor.
Bagaimanapun, warga Malaysia dilaporkan masih boleh menggunakan pintu automatik, manakala sistem pelepasan untuk motosikal dan kereta berfungsi seperti biasa.
Di Laluan Kedua (Second Link) Iskandar Puteri, pintu automatik Kompleks Sultan Abu Bakar turut terjejas, namun seorang pegawai menyatakan keadaan di sana masih terkawal berbanding di BSI.
“Malah pintu automatik di stesen KTM di BSI juga offline. Ini merupakan gangguan besar pertama tahun ini, dan masanya sangat tidak sesuai memandangkan kita menerima ramai pelawat asing sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026,” kata pegawai tersebut.


