PENDUDUK di Selangor, Perak dan sebahagian Pahang dinasihatkan berwaspada kerana Ribut Tropika Senyar yang boleh menyebabkan cuaca tidak menentu dijangka melanda berterusan bermula seawal tengah malam ini hingga Sabtu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tropika itu dikesan memasuki perairan Selat Melaka, sejak 3.30 petang tadi dan dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.
“Ribut Tropika Senyar dikesan berada pada Latitud 3.6 darjah Utara dan Longitud 100 darjah Timur, iaitu kira-kira 94 kilometer ke Timur Laut Tanjung Balai, Indonesia dijangka bergerak ke arah timur dengan kelajuan sembilan kilometer (km) sejam dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 50 km sejam.
“Kami menjangkakan ribut akan melanda di sempadan Perak, Selangor dan sebahagian Pahang bermula tengah malam ini atau awal pagi esok. Sistem cuaca Senyar ini diameternya lebih kurang 100 kilometer dan ia akan ke bergerak menuju ke Laut China Selatan.
“Justeru kawasan lain yang akan terkesan dengan fenomena ini termasuk Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini, lapor Bernama.


