RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentangkan semula pada sidang Parlimen akan datang, dijangka sekitar Jun ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan gagal memperoleh majoriti apabila meraih 146 undi berbanding 148 yang diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.
Menurut beliau, Jemaah Menteri turut menerima taklimat daripada Ketua Whip merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung status lapan ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak berada dalam Dewan ketika pengundian dijalankan.
“Di pihak Pakatan Harapan, kehadiran adalah 100 peratus. Lapan ahli Parlimen telah dikenal pasti dan kerajaan akan berusaha memastikan kehadiran penuh pada sidang akan datang bagi meluluskan pindaan penting ini,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Beliau mengulas berkenaan isu Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai salah faham yang berlaku dalam kalangan sebahagian ahli Parlimen pembangkang berhubung tujuan sebenar pindaan tersebut.
“Ada dalam kalangan mereka memberi maklum balas kepada seorang menteri bahawa mereka menyangka undian pada hari itu adalah untuk memberi tempoh 10 tahun kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Ini satu salah faham yang tidak sepatutnya berlaku kerana pindaan ini bukan untuk mana-mana individu, sebaliknya bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun bagi memastikan semak dan imbang dalam sistem demokrasi,” katanya.
Beliau menegaskan usaha itu tidak bersifat partisan dan bertujuan mengelakkan situasi di mana seseorang Perdana Menteri merasakan boleh terus berkuasa tanpa had masa.
“Sehubungan itu, saya berharap pada sidang akan datang, pihak pembangkang dapat bersama-sama kerajaan menyokong pindaan Perlembagaan berkenaan demi kepentingan demokrasi negara,” katanya.


