Sanusi rakam penghargaan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan bantu pembangunan Kedah

KERAJAAN  Kedah merakamkan penghargaan atas usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau turut berharap agar kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat dipertingkatkan pada masa akan datang.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan dalam usaha-usaha berterusan membantu pembangunan negeri Kedah…diharapkan kerjasama ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

“Inisiatif pembangunan mampan di bawah kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah formula terbaik bagi memastikan Kedah dapat turut menyumbang dengan lebih baik dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Baling, hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Muhammad Sanusi berkata Kedah dalam usaha menarik kedatangan pelancong sejajar dengan penganjuran Tahun Melawat Kedah 2025.

Menurut beliau, penganjuran program PMR 2025 Kedah yang diadakan di sini dilihat antara pemangkin utama untuk menarik kedatangan pelancong tempatan ke Baling bagi meneroka keindahan flora dan fauna di daerah itu.

“Bagi pihak seluruh rakyat Kedah, saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang memilih daerah Baling, Kedah, untuk penganjuran Program MADANI Rakyat pada tahun ini.

“Program yang berlangsung sejak beberapa hari lalu ini cukup meriah dan memberi impak yang positif dalam usaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat,” katanya, lapor Bernama.

Muhammad Sanusi turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang membantu dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur serta produk pelancongan di Kedah.

Katanya, ia termasuk Projek Meroboh, Membina Dan Menaik Taraf Terminal dan Jeti Penumpang, Kargo dan RORO di Jeti Kuala Kedah, Projek Sempadan Utara Semenanjung (peningkatan kemudahan pelancongan Mong Gajah Tasik Pedu, Padang Terap), Kerja-Kerja Naik Taraf Tapak Arkeologi Sungai Batu Kepada Kompleks Arkeo-Pelancongan Tamadun Sungai Batu, Kuala Muda serta menaik taraf Galeri Perdana, Langkawi.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri komited untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta bersedia menerima lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img