Aktivis iklim antarabangsa, Greta Thunberg, mendakwa beliau telah menjadi mangsa penyeksaan, penghinaan seksual, dan penderaan fizikal semasa ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan “Sumud Flotilla” ke Gaza.
Dalam wawancara eksklusif bersama akhbar Aftonbladet, Sweden, Greta berkongsi pengalaman ngeri selama lima hari dalam tahanan Israel, yang menurutnya mendedahkan sikap tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa Zionis terhadap aktivis dan lebih-lebih lagi terhadap rakyat Palestin.
Greta berkata, beliau dan tahanan lain telah dipukul, ditendang, dibiarkan lapar dan diseksa.
Menurut Greta, beliau ditarik ke tanah dan dibalut dengan bendera Israel sebelum dihina dengan kata-kata kesat dalam bahasa Sweden yang dipelajari oleh anggota keselamatan Israel.
“Mereka menarik saya ke tanah, membalut saya dengan bendera Israel dan berkata, ‘Tempat khas untuk wanita istimewa’,” katanya.
Beliau mendakwa dihina dengan kata-kata seperti “Lilla hora” (pelacur kecil) dan “Hora Greta” (Greta si pelacur) – satu bentuk penghinaan seksual yang menurutnya diulang-ulang oleh pengawal.
Greta juga mendakwa tangannya diikat dengan pengikat kabel yang sangat ketat, dan beberapa pengawal mengambil gambar ‘selfie’ sambil mentertawakannya.
“Saya duduk terikat, dan mereka berbaris mengambil gambar selfie bersama saya,’’ katanya.
Beliau turut dipaksa menanggalkan pakaian dalam untuk pemeriksaan fizikal, yang dijalankan secara kasar dan penuh penghinaan.
“Ia bukan sahaja pemeriksaan biasa. Ia dilakukan dengan cara mengejek dan menyakitkan. Semuanya dirakam.”
Greta berkata, tahanan dibiarkan dalam keadaan panas terik mencecah 40 darjah Celsius tanpa bekalan air atau makanan mencukupi. Permintaan air diabaikan, malah pengawal sengaja menunjukkan botol air mereka sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.
“Kami menjerit meminta air. Mereka hanya ketawa dan membuang air di depan kami,’’ katanya.
Ketika beberapa tahanan pengsan akibat dehidrasi dan keletihan, mereka mengetuk sangkar meminta bantuan perubatan, namun pengawal sebaliknya mengancam mereka.
“Apabila kami minta doktor, mereka jawab: ‘Kami akan gas kamu.’”
Greta turut mengecam pihak kedutaan Sweden yang datang melawat mereka, kerana didakwa gagal memberi perlindungan konsular atau bantuan asas seperti air dan rawatan.
“Kami memberitahu mereka tentang penyeksaan, kekurangan makanan dan air, dan menunjukkan kecederaan. Tapi mereka hanya jawab, ‘Kami akan ambil maklum.’”
Beliau juga menuduh kerajaan Sweden meremehkan keadaan sebenar, apabila hanya memaklumkan kepada keluarga bahawa Greta telah “duduk di permukaan keras dalam jangka masa panjang”, tanpa menyebut penderaan atau penderaan seksual yang dialami.
Greta mengakhiri wawancaranya dengan memberi amaran kepada masyarakat antarabangsa agar membuka mata terhadap perlakuan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Jika saya, seorang wanita putih, terkenal, dari Sweden pun dilayan sebegini dengan dunia sedang memerhati, bayangkan nasib rakyat Palestin yang tidak mempunyai siapa untuk membela mereka,’’ katanya.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


