BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau masih aktif sebagai ahli parti itu walaupun tidak lagi berada dalam arus perdana politik negara ketika ini.
Katanya, beliau masih menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Bera dan Ketua UMNO Bera, namun mengakui tidak lagi terlibat secara langsung dalam politik ‘mainstream’.
“Saya masih aktif sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO bahagian. Tetapi saya sedar tidak lagi aktif dalam arus perdana politik tanah air,” katanya selepas program ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Johor Bharu hari ini, lapor FMT.
Bekas Perdana Menteri itu, beliau belum membuat sebarang keputusan kemungkinan kekal bertanding di Bera pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Keputusan berkenaan PRU akan dibuat apabila sampai waktunya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata, fokus utamanya ketika ini adalah membantu golongan memerlukan, khususnya anak-anak yatim yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Buat masa ini saya memberi tumpuan membantu kira-kira 1,000 anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga disebabkan pandemik Covid-19. Itu fokus saya ketika ini,” katanya.


