PEGAWAI polis yang digantung tugas, Sheila Sharon Steven Kumar, 38, hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini untuk sebutan semula kes menghalang tugas anggota polis pada November lalu.
Bagaimanapun kehadiran wanita yang lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila itu mengundang perhatian petugas media apabila beliau hadir bersama seorang lelaki warga Pakistan berusia lingkungan awal 30-an.
Ketika menyantuni beberapa petugas media di pekarangan mahkamah, Sheila membuat pengakuan bahawa beliau kini menjalinkan hubungan dengan lelaki terbabit.
Dalam rakaman berdurasi 16 saat itu, Sheila dilihat bersama lelaki berkenaan dan menyatakan hasratnya untuk berkahwin, selain mendakwa dirinya telah memeluk agama Islam.
“Saya nak kahwin dia, saya dah masuk Islam,” katanya dalam rakaman video berkenaan.
Pada 12 November lalu, Sheila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menghalang anggota polis bertugas di Jalan Sultan Azlan Shah di ibu negara pada 4 November 2025.
Dia didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam iaitu anggota polis di Balai Polis Chow Kit, Lans Koperal Malvinderjit Singh Teerath Singh, 38, dalam fungsi awam sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah.
Majistret Aina Azahra memutuskan jaminan sebanyak RM6,600 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan. Beliau turut menetapkan tarikh hari ini sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu, ketika ditanya media mengenai perubahan penampilan dirinya yang kini dilihat semakin langsing, pegawai polis kontroversi itu berkata;
“Dia ni kurus. Kalau saya gemuk, macam gajah dia akan lari, kan baby boy,” katanya lagi dalam situasi berjenaka.


