MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyarankan individu yang sering mendakwa ditahan pihak berkuasa agar menilai semula tindakan dan sikap sendiri, sambil menegaskan kerajaan tidak campur tangan dalam siasatan yang dijalankan agensi penguat kuasa.
Beliau menegaskan, Kerajaan Madani tidak mengarahkan mana-mana pihak untuk disiasat, dan semua tindakan dibuat berdasarkan undang-undang serta pertimbangan profesional agensi terlibat.
“Untuk menghalang, itu bukan hak saya. Saya tidak mengarahkan. Kalau penguat kuasa rasakan ada kewajaran untuk melakukan siasatan, maka siasatlah. Sekiranya badan penguatkuasa mendapati wujud elemen fitnah atau pelanggaran undang-undang, maka mereka berhak menjalankan siasatan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan.
“Kalau mereka tidak mengeluarkan (kenyataan) dan pada pandangan badan penguatkuasa perkara itu adalah fitnah atau wajar disiasat, maka itu hak mereka untuk bertindak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) ketika menggulung perbahasan Belanjawan 206 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Wan Saiful minta Fahmi menjelaskan konteks kebebasan bersuara dalam kerajaan hari ini.
“Saya tertarik dengan jawapan diberikan soal kebebasan bersuara dan kebebasan untuk bercakap dalam negara kita.
“Tapi malangnya apabila mendengar penjelasan menteri, kita lihat di luar sana tangkapan-tangkapan masih berlaku. Terbaru Wan Azri (Wan Deris) ditahan, exco Pemuda Bersatu Ashraf (Khan Hayup Khan), Chegubard (Badrul Hisham Shaharin) dah berapa kali ditahan polis. Perkara berlaku berulang-ulang dari dulu sampai sekarang.
“Jadi saya agak keliru apa perbezaan dalam konteks kebebasan bersuara antara kerajaan hari ini yang memperjuangkan reformasi, dan kerajaan sebelum ini yang dikatakan tidak memperjuangkan reformasi. Nampak macam tak ada beza,” katanya.
Namun, Fahmi merujuk kepada Wan Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang dikatakan sering ditahan pihak berkuasa dengan menyifatkan perkara itu seharusnya menjadi muhasabah diri.
“Mungkin kalau nama disebutkan tadi, Wan Azri sebagai contoh, kalau dia merasakan dia selalu sangat ditahan ataupun apa, mungkin dia patut bertanya kepada dirinya sendiri: kenapa selalu kena?
“Mungkin terdetik di sanubari beliau, dan terpancar sinar agar berubah sikap atau mungkin itu yang akan menghalang beliau daripada ditahan (pada masa depan),” katanya.
UNDILAH |



