Sayur naik harga, musim tengkujuh jadi punca

HARGA sayur-sayuran di beberapa buah pasar di sekitar ibu negara kini dikatakan meningkat sedikit sejak Ahad lalu susulan musim tengkujuh sehingga menjejaskan bekalan dan mendorong peniaga menyesuaikan harga bagi menghadapi kekurangan stok.

Salah seorang peniaga sayur, Suhailly Mohd Ali, 53, berkata, harga sayur-sayuran menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini, dengan kenaikan sekitar 30 hingga 40 peratus bergantung kepada jenis.

Suhailly Mohd Ali

Menurutnya, beberapa jenis sayur mencatat lonjakan harga lebih tinggi berbanding biasa.

“Antaranya ketumbar, bendi dan cili yang sering mengalami turun naik bekalan.

“Disebabkan harga naik, kami terpaksa mengurangkan sedikit kuantiti stok bagi menyesuaikan kos. Pembeli pula ada yang memahami, ada juga yang kurang setuju,” katanya ketika ditemui utusanmelayuplus di Pasar Raja Bot, Jalan Chow Kit di ibu negara hari ini.

Tinjauan di pasar itu mendapati, terdapat pembeli yang mendakwa mereka terpaksa menanggung perbelanjaan lebih bagi mendapatkan sayur-sayuran.

ANTARA cili yang dijual di Pasar Jalan Raja Bot, Jalan Chow Kit di ibu negara hari ini dalam tinjauan harga sayur.
GAMBAR: NURUL SHAFINA JEMENON
VIDEO: MOHAMAD REDZWUAN MANSOR
utusanmelayuplus

Menurut Suhaily, kenaikan harga berlaku ekoran  kesan banjir di Thailand yang menjadi antara pembekal utama sayur-sayuran.

“Kebanyakan bekalan kita datang dari sana (Thailand), jadi bila harga di Thailand meningkat dan pembekalan berkurang, ia terus memberi kesan kepada harga sayur di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Rwismida Mansyur, 47, berkata, harga sayur menunjukkan peningkatan disebabkan cuaca tidak menentu.

“Sekarang memang banyak yang naik, termasuk cili, sayur-sayur kampung dan sayur basah. Sebelum ini cili sekitar RM8 hingga RM9 sekilogram, tetapi sekarang boleh mencecah RM12 hingga RM14,” katanya.

Rwismida Mansyur

Menurutnya, meskipun berlaku kenaikan harga, isu tersebut tidak menghalangnya untuk terus membeli sayur-sayuran kerana ia merupakan keperluan harian.

“Kita tetap beli juga sebab nak makan sayur. Tak kisahlah harga naik pun, tetap akan beli. Saya pun tak tukar kepada sayur lain walaupun harganya yang lebih mahal,” katanya.

Tambahnya, pilihan alternatif seperti sayur yang dijual secara ikat atau longgok membantu pembeli mengurangkan kos.

“Ada peniaga yang jual secara ikat dengan harga dengan harga RM1 hingga RM5. Biasanya saya beli yang longgok-longgok macam itu juga,” katanya.

PELBAGAI jenis sayur dan ulam yang dijual di Pasar Jalan Raja Bot.
GAMBAR: NURUL SHAFINA JEMENON
VIDEO: MOHAMAD REDZWUAN MANSOR
utusanmelayuplus

Seorang lagi pembeli, Shawal Thaaidi, 39, berkata, harga sayur kini menunjukkan sedikit peningkatan, bergantung kepada kawasan dan jenis sayur yang dibeli.

“Kalau di bandar, harganya masih munasabah, tetapi di kawasan luar bandar, sedikit mahal. Antara faktor utama kenaikan harga adalah kerana sebahagian besar sayur diimport,” katanya.

Tambahnya, dia tidak menafikan bahawa kenaikan harga itu turut dipengaruhi oleh cuaca buruk dan banjir yang menjejaskan bekalan sayur tempatan.

Shawal Thaaidi

“Kebanyakan sayur tempatan terjejas akibat hujan dan banjir, jadi ia memberi kesan terus kepada harga di pasaran,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img