KETUA pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menggesa kerajaan supaya melaksanakan segera Pelan Kontinjensi Nasional dengan mengambil kira keadaan konflik di rantau Teluk.
Katanya, pelan itu harus jelas dan menyeluruh supaya semua pihak sama ada kerajaan mahu pun rakyat bersedia menghadapi segala kemungkinan pada masa hadapan.
‘’Jangan sesekali bersikap defensif terhadap teguran atau cadangan yang diberikan. Negara perlukan kepimpinan yang mendengar denyut nadi rakyat, yang memahami realiti sebenar di bawah sana dan sentiasa jujur dalam setiap tindakan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengingatkan, ketika erajaan menaikkan harga diesel kepada RM4.72 seliter – tertinggi dalam sejarah Malaysia – pesawah padi menjadi kelompok yang paling terkesan ketika ini.
‘’Waktu ini pesawah berada dalam fasa kritikal, ada yang dalam musim menuai dan ada juga yang bermula dalam persediaan musim baharu, ‘’ katanya.
Beliau berkata, pada masa sama negara berdepan musim kemarau dan banyak kawasan sawah menyaksikan padi menjadi hampa.
‘’Sudahlah hasil terjejas, pesawah terpaksa pula mengeluarkan kos tambahan disebabkan kenaikan harga diesel hingga ada yang menanggung kerugian.
‘’Lebih mendesak, jentera penuai dan pembajak hingga kini tidak termasuk dalam skop bantuan BUDI-Agri Madani, manakala subsidi RM160 sehektar bagi kerja membajak dan RM50 sehektar bagi tuaian, jelas tidak lagi mencerminkan realiti kos semasa,’’ katanya.
Sehubungan itu, Hamzah berkata, persoalan juga timbul berhubung Insentif Tunai RM600 kepada pesawah.
‘’Apakah benar pesawah tidak menerima bantuan ini sejak dua musim berturut-turut? Pembangkang bimbang jika kerajaan tidak menangani isu ini dengan segera, krisis harga minyak akan menjadi krisis keselamatan bekalan makanan. Kita harap kerajaan akan mengambil langkah intervensi dengan segera,’’ katanya.


