MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memohon maaf di atas insiden semasa sidang media pra-pelancaran program pencahayaan ‘I Lite U’ di Bukit Bintang baru-baru ini, yang mencetuskan kritikan terhadap cara beliau berinteraksi dengan wartawan.
Kor Ming berkata beliau menerima teguran dengan hati terbuka.
‘’Saya menerima dengan hati terbuka segala teguran sekiranya ada rakan-rakan media yang terkilan dengan kata-kata itu. Saya tarik balik dan mohon maaf.
‘’Orang yang kenali saya ini sepanjang masa hampir 30 tahun (tahu), kami khususnya saya sentiasa menghormati kebebasan media dan kebebasan bersuara. Sebab itu sekiranya ada rakan media yang rasa terkilan…saya tarik balik dan juga mohon maaf supaya kita dapat fokus untuk memastikan kita terus mengangkat martabat negara..itu penting,’’ katanya pada sidang media di Ipoh yang disiarkan dalam Facebook beliau.
Sebelum ini pada sebelah paginya, Kor Ming berkata beliau sedar insiden berkenaan telah menimbulkan salah faham, selepas satu klip video tular menunjukkan beliau memberi arahan kepada seorang wartawan dalam nada yang dianggap kasar oleh sesetengah pihak.
Beliau juga menyatakan kesediaan bertemu dengan media terbabit supaya perkara isu itu dapat diselesaikan dengan baik dan teratur.
Pada prapelancaran projek ‘I Lite U’, wartawan dari Utusan Malaysia bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.
Kor Ming menjelaskan ia adalah acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Namun, Kor Ming kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia itu yang beliau akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan diajukan.
Tindakannya itu menimbulkan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM).
Pada masa sama pelbagai pihak termasuk Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar mendesak Kor Ming meminta maaf kepada akhbar terlibat.
UNDILAH | 



