
TAHUN Baru Cina akan disambut pada Selasa ini. Sejak kecil saya diajar oleh ibu bapa saya untuk meraikannya bersama kawan-kawan Tionghua memandangkan sebagai seorang ahli perniagaan arwah bapa saya mempunyai ramai kawan daripada pelbagai bangsa sebagai rakan strategik.
Ditakdir Allah, apabila saya terlibat dalam perniagaan berasaskan TVET, saya bertemu Datuk Dr. Phang Chau Leong, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Lam Lai Meng, Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
Kedua-dua bekas pegawai kerajaan yang sudah lama bersara ini (lebih 10 tahun) adalah dua pegawai kerajaan berbangsa Cina yang sangat dekat di hati saya kerana keikhlasan mereka mencurahkan bakti tanpa mengira kaum dan agama. Secara peribadi mereka tidak pernah menunjukkan integriti buruk terhadap saya dalam apa juga keadaan.
Saya juga terhutang budi dengan mereka yang banyak membantu sehingga saya berjaya melonjakkan diri sebagai usahawan berwibawa berteraskan prinsip dasar awam berkonsepkan ‘digerak sektor swasta, dipermudahcara oleh kerajaan’.

Lam Lai Meng pencen sekitar tahun 2008, jauh lebih senior daripada Dato’ Dr. Phang. Saya mengenali Lam ketika beliau menjadi Setiausaha Bahagian, Kementerian Sumber Manusia bagi mengetuai Tabung Pembangunan Kemahiran (sebelum diperbadankan sebagai PTPK) pada tahun 2001. Saya masih ingat lagi pejabat kecilnya di Phileo Damansara bersama beberapa staff sahaja ketika saya berurusan dengan beliau.
Memandangkan pengurusan awal TPK berhadapan pelbagai kekangan, hubungan saya dengan Lam agak ‘berwarna-warni sedikit’. Adakalanya saya akan mengkritik agak keras tetapi Lam sentiasa terbuka berbincang sehingga membolehkan kami mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.
Walaupun hubungan kadang kala tegang namun kami tetap mampu bekerjasama terutama ketika usaha menstrukturkan program Majlis Latihan Kemahiran Kebangsaan (MLVK) dan menaiktaraf TPK kepada PTPK sekitar tahun tahun 2004-2005.
Diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) ketika itu, Datuk Yahya Nordin, saya berpeluang bekerjasama dengan Lam dari aspek idea menambahbaik TPK hinggalah perkara dasar daripada perspektif penyedia latihan swasta yang merupakan pelanggan utama TPK.
Memandangkan saya mengetuai persatuan berkaitan Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) ketika itu, kami seringkali bertemu kerana dijemput kementerian atau agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan lain-lain.
Melaluinya saya menimba banyak pengalaman berkaitan polisi awam, kaedah dan prosedur kerajaan. Ia sangat penting kepada saya dalam merangka hala tuju TVET negara serta kaedah dan peraturan kerajaan sehingga membolehkan idea dan dasar yang saya cetuskan dilaksanakan dengan baik. Pengalaman itulah yang memungkinkan saya bertahan sehingga hari ini.
Pernah berlaku satu suasana kekok kepada pegawai bumiputera, apabila Lam turut hadir mewakili KSM dalam mesyuarat untuk memperkasakan usahawan bumiputera dalam industri latihan di Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.
Suasana itu wujud apabila Lam yang merupakan satu-satunya pegawai bukan bumiputera mengemukakan pelbagai cadangan yang dianggap lebih bernas daripada pegawai-pegawai bumiputera.
Pada majlis meraikan persaraan beliau yang dianjurkan oleh persatuan kami, beliau melahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar saya kepada penubuhan PTPK. Bagaimanapun beliau terkilan kerana tidak sempat memohon apa-apa pinjaman pelajar sejak PTPK mula beroperasi sehinggalah beliau bersara.
Datuk Dr. Phang pula saya kenali sejak beliau menjadi Pengarah MLVK yang berpejabat di Pusat Bandar Damansara kerana saya menjalankan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sejak tahun 1996.
Phang sentiasa melihat saya sebagai pencetus inovasi dalam pelaksanaan SKM. Pada tahun 1999, saya memperkenalkan konsep ‘Time Sharing TVET’ apabila buat pertama kalinya, Kementerian Belia dan Sukan membenarkan kampus IKBN Seri Iskandar, Bota, Perak digunakan sebagai pusat pembelajaran ILKS milik saya secara berjadual.
Konsep ini berjaya dilaksanakan walaupun pada peringkat awalnya, pegawai-pegawai beliau sendiri meragui kemampuan saya. Sejak itu, apa juga idea baru saya yang berada dalam kuasa dan peraturan kerajaan akan dibenarkan dan beliau berusaha menjadi pemudahcara. Adakalanya saya tahu inovasi baru saya ada risiko memandangkan ia boleh menyebabkan saya tidak disenangi sesetengah pegawai bawahan beliau.
Bagaimanapun melalui pendekatan dan keyakinan diri, saya berjaya melonjakkan pencapaian sebagai penyedia latihan peringkat nasional dan antarabangsa.
Saya masih ingat dalam satu perbincangan petang Jumaat di KSM pada tahun 2015, Phang menasihatkan seniornya supaya mengurangkan kerenah birokrasi agar ILKS bumiputera dapat dilonjakkan dengan lebih baik.
Suatu ketika saya hampir mengalah kerana letih melayan kerenah birokrasi. Bagaimanapun dalam satu pertemuan, sambil memegang tangan saya, Lam menyatakan saya telah memberikan sumbangan besar kepada TVET negara. Oleh itu beliau meminta saya bersabar dan meneruskan perjuangan selagi saya masih hidup dan terdaya.
Demikianlah dua insan berbangsa Cina ini yang mempunyai pemikiran, budaya dan tanggungjawab sebagai penjawat awam yang sangat memberi kesan dalam hidup saya sebagai orang Melayu. Tidak ada sedikitpun kepentingan peribadi atau masalah integriti yang saya lalui bersama mereka.
Kini setelah bersara, Dr. Phang menjalani kehidupan bahagia bersama keluarga terutama di luar negara, manakala Lam menjadi sukarelawan Muzium Negara.
Hampir setiap tahun saya akan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada mereka. Biarpun tiada lagi dalam perkhidmatan awam, namun budi dan jasa mereka tetap saya hargai hingga akhir hayat.
Bagi saya, mereka adalah model terbaik membangunkan negara melalui kepelbagaian kaum yang mempunyai nilai perpaduan, muhibah dan integrasi nasional.
Tatkala negara semakin diselubungi krisis prejudis antara kaum dan integrasi wilayah Malaysia ketika ini akibat permainan politik yang rencam dan agak keterlaluan, kisah ini seharusnya dijadikan teladan dalam memupuk perpaduan dan muhibah antara kaum di Malaysia.
Selamat Tahun Baru Cina kepada Dato’ Dr. Phang Chau Leong dan Lam Lai Meng serta semua kaum Cina di Malaysia.
Saya menulis artikel pengalaman kisah benar ini dengan penuh kesedaran dan keikhlasan, demi Malaysia yang aman, makmur dan Sejahtera.
*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosio-ekonomi.


