Selepas Kelantan dan Terengganu, Kedah negeri ketiga dilanda banjir

JUMLAH mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi ini berjumlah 2,711 mangsa dengan Kedah menjadi negeri terbaharu selepas Kelantan dan Terengganu.

Kesemua jumlah mangsa banjir di tiga negeri itu melibatkan 1,045 keluarga dan setakat ini sebanyak 19 PPS telah dibuka.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, memaklumkan semua 225 mangsa daripada 66 keluarga dari daerah Kulim ditempatkan di PPS Masjid al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Naga Lilit, dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik.

“Mukim yang terlibat ialah Sungai Seluang dan mangsa adalah dari Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Paya Serdang, Kampung Titi Tok Aris dan Kampung Padang Cina,” lapor Bernama.

Sementara itu, mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 2,318 pagi ini, berbanding 1,103 malam tadi melibatkan tiga jajahan susulan hujan lebat berterusan tahap waspada sejak Jumaat lalu.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan 14 PPS kini beroperasi di Kota Bharu, Tumpat, dan Bachok.

PPS yang terlibat di Kota Bharu ialah SK Sering, SK Raja Sakti, SK Tapang, SK Parang Puting, SK Islah, SK Seribong dan SK Sabak, manakala di Tumpat melibatkan SK Seri Tumpat 2 dan SK Pengkalan Kubor 2, selain tiga PPS di Bachok, iaitu SK Sembilan Pauh, SK Jelawat dan SK Pa’Pura.

Di Terengganu, sejumlah 353 mangsa daripada 82 keluarga dari Kampung Baru, Pulau Redang masih berlindung di PPS Masjid Kampung Pulau Redang di Kuala Nerus, berbanding 276 mangsa malam tadi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang yang dijangka berlaku di tujuh negeri sehingga jam 1 petang ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, negeri terlibat adalah Perak membabitkan kawasan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub).

Turut terlibat adalah kawasan Sabak Bernam dan Hulu Selangor di Selangor; Port Dickson, Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan; Tangkak dan Muar di Johor, serta Melaka.

Amaran itu turut melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran, dan Sandakan) selain Kudat di Sabah.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img