AWANG dah agak FIFA akan kekalkan hukuman FAM dan tujuh pemain asing yang beraksi di Liga Malaysia selepas menolak rayuan berhubung kes pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.
Dalam kenyataan malam tadi, FIFA berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti penghujahan dan prosiding pendengaran yang dijalankan sekaligus akan memaksa FAM membayar denda RM1.8 juta manakala tujuh pemain tersebut didenda RM10,500 setiap seorang dan digantung selama 12 bulan aktiviti berkaitan bola sepak di peringkat antarabangsa.
FAM pula dalam reaksi mereka, menyatakan rasa terkejut dengan keputusan berkenaan memandangkan ia merupakan kali pertama badan induk bola sepak negara berdepan situasi seperti ini.
“FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), kata Pemangku presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi.
Bagi Awang soal hendak membuat rayuan itu hak FAM tetapi siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap maruah bolasepak negara yang tercalar akibat kes yang sepatutnya sama sekali tidak berlaku?
Ini bukan seorang sahaja kena bertanggungjawab malah keseluruhan barisan kepimpinan FAM perlu berundur, dalam bahasa mudah letak jawatan! Ia bukan boleh diselesaikan dengan ‘rasa terkejut’.
Apa yang berlaku adalah kecuaian dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja. Pengurusan FAM harus bertanggungjawab. Letaklah jawatan ‘secara berjemaah’. Kes ini amat memalukan arena bola sepak negara.
Memandangkan ia kes besar dan diputuskan bersalah oleh FIFA, Awang lebih cenderung untuk percaya FAM bersalah, oleh itu kesemuanya pegawainya digantikan dengan barisan pengurusan. Itu sahaja! Awang bukannya mahu mendahului Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang diketuai oleh Tun Md Raus Sharif bagi menyiasat isu tujuh pemain warisan itu, tetapi apa yang berlaku amat mengecewakan.
Awang tak faham apa yang kita nak kejar sangat sampai berlaku pemalsuan dokumen seperti mana didakwa oleh FIFA. Badan dunia tu bukannya membuat keputusan sembrono. Mereka pastinya sudah mengkaji, meneliti sebelum membuat keputusan.
Soal rayuan kepada FIFA, itu soal kedua. Yang penting dalaman FAM perlu ‘dibersihkan’ dan mengambil tanggungjawab penuh bukan dok buat jalan cerita ‘bangau oh bangau’. Tak nak la nanti bila IIC mengumumkan hasil siasatan mereka, FAM ‘terkejut’ lagi!….berapa kali nak terkejut sedangkan maruah kita sudah tercemar, orang akan bercakap kes ini ibarat selagi bola bergolek di atas padang!
Awang : Tak terkejut bila FAM terkejut…
UNDILAH | 



