Sembilan aktivis Malaysia yang menyertai Freedom Flotillah Coalition (FFC) dijangka tiba di Istanbul petang ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Katanya, beliau mendapat maklumat daripada Kementerian Luar Turkiye bahawa penerbangan yang membawa 95 individu dipercayai aktivis misi FFC bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).
“Kapal terbang dari negara penjajah akan tiba di Istanbul jam 3 petang, membawa 95 orang kemungkinan semua peserta Conscience,” tulisnya di Instagram miliknya hari ini.
Semalam, media melaporkan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) sudah berjumpa dengan 100 delegasi daripada 145 yang ditahan Israel.
Semalam Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, beberapa aktivis Malaysia FFC x TMTG dilaporkan telah dikasari dan mengalami penderaan fizikal serta layanan tidak berperikemanusiaan semasa dan selepas pemintasan oleh tentera Israel.
Beliau berkata, peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab (ADALAH) memaklumkan tindakan rejim Zionis itu termasuk menendang, menampar dan mencengkam secara agresif.
Sembilan delegasi terbabit adalah Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar serta Dr Maziah Muhammad.



