Menteri Luar Israel, Gideon Saar, pada Khamis berkata bahawa laluan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir dijangka dibuka semula pada Ahad ini, lapor media Israel.
Menurut akhbar Yedioth Ahronoth, Saar memaklumkan bahawa persiapan sedang dijalankan bagi membuka semula terminal tersebut dalam beberapa hari lagi, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Agensi berita Anadolu pula melaporkan bahawa, pada hari yang sama, Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty berkata Kaherah sedang mengadakan perbincangan dengan Israel bagi membuka semula sempadan itu “bagi membanjiri Gaza dengan makanan dan bantuan kemanusiaan,” memandangkan keadaan kemanusiaan di wilayah itu kini berada pada tahap “bencana besar.” Abdelatty menegaskan bahawa laluan Rafah “terbuka 24 jam dari pihak Mesir.”
Bagaimanapun, laluan tersebut masih ditutup daripada pihak Palestin semalam, walaupun terdapat rancangan untuk membukanya semula pada Rabu sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza.
Sejak Mei 2024, tentera Israel telah menyekat pergerakan rakyat Palestin melalui laluan Rafah – satu-satunya pintu keluar Gaza ke dunia luar yang sebelum ini tidak dikawal Tel Aviv sekaligus menutup sepenuhnya wilayah itu.
Media Israel melaporkan bahawa Tel Aviv enggan membuka semula sempadan tersebut selagi ia belum menerima semua mayat tebusan Israel yang dipercayai masih berada dalam tahanan pergerakan Hamas.
Menurut terma perjanjian gencatan senjata, Hamas telah membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup dan menyerahkan mayat 10 lagi, sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin. Kumpulan itu pada Rabu berkata bahawa mereka sedang berusaha “sedaya upaya” untuk mengesan baki mayat tebusan lain.
Perjanjian gencatan senjata itu dicapai minggu lalu antara Israel dan Hamas berdasarkan rancangan yang dikemukakan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Fasa pertama melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin, manakala fasa seterusnya merangkumi usaha membangunkan semula Gaza dan penubuhan badan pemerintahan baharu tanpa Hamas.
Walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa, bantuan kemanusiaan masih sangat terhad. Dalam satu kenyataan pada Khamis, Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata hanya 653 trak bantuan telah masuk sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Perjanjian tersebut menetapkan bahawa 600 trak bantuan perlu memasuki Gaza setiap hari, termasuk yang membawa bahan api dan gas memasak. Namun pada Ahad lalu, Israel hanya membenarkan 173 trak masuk — tiga daripadanya membawa gas memasak dan enam membawa bahan api — sementara tiada penghantaran dibenarkan pada Isnin dan Selasa, menurut Pengarah Pejabat Media, Ismail al-Thawabta.
Al-Thawabta menyifatkan jumlah bantuan semasa sebagai “setitis dalam lautan keperluan,” sambil menegaskan sekurang-kurangnya 600 trak sehari diperlukan bagi menampung keperluan bahan api, makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan lain.
Pihak berkuasa Gaza turut memaklumkan bahawa mereka berkoordinasi dengan pertubuhan bantuan antarabangsa bagi memastikan pengagihan adil bagi bantuan terhad yang diterima.
Sejak perang Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, hampir 68,000 rakyat Palestin — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak — telah terbunuh, dan sebahagian besar wilayah itu kini tidak lagi layak didiami.