SEORANG wanita maut manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Vista Perdana, Miri awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa maut dikenali sebagai Easther Natasha Mulin, 23, adalah penumpang dalam kenderaan jenis Perodua Bezza.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan. Seorang mangsa wanita masih berada di dalam kereta, manakala dua lagi mangsa sudah dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya lapor BuletinTV3.
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa wanita berkenaan menggunakan pengusung.
Bagaimanapun, pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dua lagi mangsa, iaitu pemandu Perodua Bezza dan pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda, dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan di hospital.


