SEPANYOL mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 selepas seri 2–2 menentang Turkiye sekali gus memastikan kedudukan teratas Kumpulan E dengan kelebihan tiga mata, di Seville.
Skuad kendalian Luis de la Fuente membuka jaringan seawal minit keempat menerusi penyudah kemas Dani Olmo, namun kegagalan menambah gol memberi peluang kepada Turkiye bangkit. Deniz Gul menyamakan kedudukan pada minit ke-42 selepas kelekaan pertahanan tuan rumah ketika situasi bola mati.
Turkiye kemudian mengejutkan penyokong tuan rumah apabila Salih Ozcan meledak rembatan ke penjuru kiri bawah pada awal babak kedua untuk memberikan pelawat pendahuluan.
Bagaimanapun, Sepanyol kembali menyamakan kedudukan enam minit kemudian setelah Mikel Oyarzabal memanfaatkan keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol. Sepanyol hampir meraih kemenangan tetapi percubaan Samu Aghehowa tersasar manakala jaringan Fermin Lopez dibatalkan.
Keputusan itu sudah memadai untuk memastikan tempat Sepanyol di Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Sepanyol kini mencatat 31 perlawanan kompetitif tanpa kalah, menyamai rekod pasukan juara dunia terdahulu, Itali. De la Fuente mengendalikan 26 perlawanan dalam siri itu dengan rekod 20 kemenangan dan enam seri.



