Serangan hidupan liar : Kerajaan beri pampasan RM1.7 juta kepada pekebun, penternak sejak Mac 2024 – Johari

SEJAK Mac  2024 sehingga September 2025, kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah meluluskan sebanyak RM1.7 Juta yang melibatkan 394 kelulusan permohonan Inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata , skop BKHT adalah bantuan berbentuk kewangan yang diberi secara one-off kepada kumpulan sasar.

“Pampasan ini diberikan kepada pemilik kebun dan penternak yang mengalami kerosakan atau kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa  berkata demikian menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) di Dewan Rakyat berkenaan status pampasan wajar yang akan diberikan kepada pemilik kebun dan penternak di kawasan Parlimen Gerik yang tanaman dan ternakan mereka dimusnahkan oleh hidupan liar seperti gajah dan harimau.

Bagi kawasan Parlimen Gerik, Johari memaklumkan  sebanyak 36 permohonan lengkap telah diterima dan sebanyak 34 permohonan telah diluluskan pada tahun 2024 dengan jumlah bantuan sebanyak RM155,075.19.

“Bagi tahun 2025 sehingga bulan September, sebanyak 37 permohonan lengkap telah diterima dan diluluskan dengan jumlah bantuan sebanyak RM186,508.52,” katanya.

Johari berkata, bantuan itu membuktikan NRES  melalui melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu pemilik kebun dan penternak yang mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman atau ternakan berpunca daripada serangan hidupan liar.

Beliau turut menegaskan, kementerian sentiasa meneliti permohonan pekebun kecil dan bersedia membantu selagi tanah mempunyai status yang sah.

“Kalau melibatkan binatang liar, kita akan bantu. Tanaman seperti ubi kayu, pisang dan sebagainya turut dipantau Kementerian Pertanian. Tanah yang tiada status saja yang kita tak boleh beri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat Orang Asli juga diberi perhatian kerana kawasan tanaman mereka sering terdedah kepada gangguan haiwan liar.

‘’Kerajaan turut melaksanakan langkah jangka panjang, termasuk membangunkan sanctuary gajah di Gerik dengan peruntukan RM52 juta di bawah RMK-13, bagi mengurangkan pencerobohan gajah ke kawasan ladang getah dan sawit, ‘’ katanya.

Dalam sesi sama,  Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) meminta penjelasan mengenai SOP penyelamatan awal dan tindakan segera apabila berlaku pencerobohan haiwan liar seperti beruk, kera dan bantan yang menjejaskan hasil penduduk kampung.

Menjawab soalan itu, Johari menjelaskan PERHILITAN sentiasa memantau laporan gangguan haiwan dan melaksanakan pelbagai strategi khusus, termasuk National Elephant Conservation Action Plan, Penyediaan “foodbank” untuk mengalihkan pergerakan haiwan dan pengukuhan undang-undang berkaitan hidupan liar.

Beliau turut menekankan ketegasan kerajaan dalam penguatkuasaan undang-undang, termasuk kes terbaharu membabitkan pemburuan harimau yang membawa kepada hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000.

Menjawab isu gangguan monyet, beliau secara berseloroh berkata perlu berdepan dengan situasi ini.

“Monyet ini semua orang berdepan. Kalau kelapa sawit atau getah dia tak makan. Tapi kalau tanam pisang, dia makanlah,’’  katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img