Setiausaha Agung FAM digantung serta-merta susulan dakwaan dokumen palsu kepada FIFA

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, telah digantung tugas serta-merta susulan kontroversi berhubung dakwaan pemalsuan dokumen yang dihantar kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Jawatankuasa tatatertib FIFA berkata, siasatan mendapati bahawa dokumen yang dikemukakan oleh FAM berhubung status tujuh pemain naturalisasi mengandungi maklumat tidak benar.

FAM sebelum ini mendakwa datuk dan nenek kepada tujuh pemain tersebut dilahirkan di Malaysia, namun hasil siasatan FIFA menunjukkan rekod asal kelahiran mereka adalah di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

Naib Presiden FAM, S. Sivasundaram, berkata pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti perkara itu dan memastikan kes seumpama tidak berulang.

“Setiausaha Agung akan digantung daripada menjalankan tugasnya berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan jawatankuasa menjalankan siasatan secara bebas,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini

Sivasundaram turut menegaskan bahawa FAM komited memastikan semua urusan pentadbiran dan pendaftaran pemain dijalankan dengan penuh ketelusan serta mematuhi peraturan Fifa.

Sebelum ini, Noor Azman menjelaskan bahawa pertikaian berkenaan berpunca daripada “kesilapan teknikal” dalam proses penghantaran dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran FAM.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img