Shamsul Iskandar hadir di pejabat SPRM beri keterangan dakwaan terima rasuah

BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putarajaya hari ini.

Shamsul Iskandar hadir sekitar jam 12 tengah hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pemberian rasuah oleh seorang ahli perniagaan, Albert Tei, lapor Sinar Harian.

Menurut sumber, kehadiran Shamsul Iskandar adalah sebahagian daripada proses pengumpulan keterangan yang sedang dijalankan SPRM susulan pendedahan dibuat sebuah portal berita baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu.

Beliau berkata, selain Shamsul Iskandar dan Albert, seorang wanita yang dikaitkan dalam klip video tular yang memaparkan perbualan bersama ahli perniagaan berkenaan, turut hadir memberi keterangan pada jam 2 petang semalam.

Pada 25 November lalu, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

SPRM sebelum ini menegaskan bahawa siasatan sedang berjalan dan semua individu berkaitan akan dipanggil bagi melengkapkan proses mendapatkan bukti yang diperlukan.

Beberapa jam sebelum Shamsul Iskandar hadir di pejabat SPRM, Albert yang mendakwa telah memberikan RM629,000 kepada Shamsul Iskandar selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang disalurkan kepada ahli-ahli politik Sabah telah ditahan oleh SPRM di kediamannya di Puchong.

Laporan media menyebut, beberapa pegawai SPRM telah memecah masuk rumah Albert secara paksa dan membawanya keluar dalam keadaan tangan bergari.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img