SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melepaskan Ketua Pengarah dan Pengarah di sebuah jabatan agensi kerajaan yang direman bagi membantu siasatan seleweng dana kira-kira RM900,000 dengan jaminan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang disyaki telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja untuk kepentingan peribadi telah dilepaskan pada Jumaat dan Sabtu lalu.
“Pada 11 Februari lalu, kedua-duanya telah ditahan reman selama lima hari sehingga hari ini. Bagaimanapun mereka telah dilepaskan lebih awal daripada tempoh reman yang ditetapkan selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan.
“Kini SPRM sedang melengkapkan siasatan untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” kata sumber tersebut.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan pada tarikh berkenaan kira-kira jam 1 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Kata sumber, selain disyaki seleweng dana kira-kira RM900,000; kedua-duanya juga dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, seramai 18 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, pihaknya telah menyita beberapa barangan berharga seperti pakaian, gajet, barangan elektronik dan peralatan sukan berjumlah kira-kira RM57,000.


