Simpanan kewangan bekas suami culas bayar nafkah akan disita – Mohd Na’im

SELAMA ini ramai tertanya-tanya dan berasa simpati dengan wanita yang diceraikan tetapi tidak menerima bayaran nafkah daripada bekas suami walaupun ia sudah ditentukan oleh mahkamah.

Paling malang apabila bekas suami hidup senang lenang manakala bekas isteri pula terpaksa bertarung mencari nafkah demi sesuap nasi.

Bagaimanapun sikap tidak bertanggungjawab bekas suami yang culas membayar nafkah akan berakhir jika langkah menyita simpanan kewangan dilaksanakan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar,  Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sudah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan langkah itu menerusi perintah Mahkamah Syariah.

“Jadi, yang ini akan dibuat oleh pihak BSK dan perbincangan itu telah dibuat dengan Bank Negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin tahu apakah mekanisme pemantauan yang diwujudkan kerajaan melalui BSK bersama BNM bagi memastikan pelaksanaan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang culas menunaikan nafkah.

Mohd Na’im berkata, kerajaan juga giat memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah melalui pelbagai kaedah undang-undang.

Selain itu, beliau berkata BSK juga sedang melaksanakan usaha memberi kesedaran kepada penanggung nafkah anak-anak dalam kalangan waris, selain suami atau bapa sebagaimana ditetapkan undang-undang dan hukum syarak bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.

Mohd Na’im menjelaskan, tindakan penguatkuasaan juga diperkukuh melalui kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesan majikan serta alamat terkini penghutang penghakiman.

“Melalui pendekatan pelbagai seperti pendahuluan nafkah, bantuan tanpa kutipan balik, kemudahan transit serta penguatkuasaan tegas terhadap penghutang bagi memastikan kebajikan pemiutang penghakiman dapat dipelihara.

“Langkah jangka panjang ini bukan sahaja menjamin kesinambungan perkhidmatan BSK, malah memperkukuh sistem kehakiman syariah demi menjaga hak wanita, anak-anak dan kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam,” katanya.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img