JABATAN Imigresen (JIM) menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi dari sebuah kediaman mewah di ibu negara selepas menahan enam lelaki warga Bangladesh dalam satu serbuan semalam.
Kejayaan itu turut melibatkan tangkapan seorang lelaki dipercayai dalang utama sindiket dikenali sebagai Rayhan dalam serbuan bermula jam 12.35 tengah hari.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan sekitar Jalan Chemur dan Jalan Ipoh itu hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Dalam operasi itu, enam lelaki berusia 23 hingga 45 tahun termasuk dalangnya telah ditahan dan semakan awal mendapati empat daripada mereka termasuk dalang utama melakukan kesalahan tinggal lebih masa.
“Dua orang lagi tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pihaknya telah menyita sejumlah 73 pasport pelbagai negara yang disyaki palsu melibatkan pasport negara Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Indonesia dan Bangladesh.
Selain itu, katanya, JIM turut menyita borang pemeriksaan kesihatan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA), cetakan berwarna muka hadapan pasport, satu set komputer dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan pemalsuan itu.
Tambah beliau, modus operandi sindiket adalah menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen dengan menggunakan pasport palsu yang telah diubah suai.
“Sindiket menyasarkan warga asing yang tidak sihat atau tidak layak untuk proses saringan kesihatan.
“Gambar ahli sindiket digunakan pada pasport palsu, manakala maklumat peribadi serta nombor pasport pelanggan dimasukkan bagi mengaburi pihak klinik,” katanya.
Menurutnya, setiap pelanggan dikenakan bayaran antara RM100 hingga RM250 untuk pasport palsu dan proses saringan kesihatan.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan ini merupakan tangkapan keempat melibatkan modus operandi sama tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, empat suspek ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lagi disiasat mengikut Seksyen 6(3) akta sama.
“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.


