SEORANG lelaki warga Thailand ditemui mati dipercayai akibat diseksa di Poipet, menjadikannya mangsa terbaharu sindiket penipuan rentas sempadan yang beroperasi di Kemboja, menurut Pusat Koordinasi Bantuan IMF.
Mangsa dikenali sebagai Sarawut, atau “Toto”, dari Samut Prakan. Dia ditemukan maut di bangunan dan tingkat yang sama dengan Suda Chonlaket, wanita muda dari wilayah Phangnga, yang kematiannya disahkan pada Sabtu lalu.
Bangkok Post melaporkan, dalam kenyataan Yayasan Immanuel (IMF) mengkritik pihak berkuasa Kemboja kerana gagal menyiasat lokasi yang dilaporkan.
Menurut yayasan itu, mangsa dipukul dengan kejam oleh ahli sindiket menggunakan batang besi dan renjatan elektrik. Serangan tersebut dipercayai diarahkan oleh seorang ketua warga China selepas mangsa gagal mencapai kuota penipuan yang menyasarkan rakyat Thailand.
Seorang rakan mangsa yang lebih tua, yang berjaya melarikan diri daripada jaringan penipuan tersebut dan kini berada di lokasi selamat, menghubungi yayasan berkenaan bagi memohon bantuan membawa pulang mayat ke Thailand.
Pusat itu turut menyatakan kebimbangan bahawa sindiket berhasrat menanam mayat secara rahsia di Phnom Penh bagi menghapuskan bukti.
Hasil siasatan mendapati mangsa telah diperdaya untuk bekerja di pusat penipuan di Kemboja. Pekerja yang gagal mencapai sasaran — dipercayai mencecah berpuluh ribu ringgit— dilaporkan dikenakan hukuman berat, dengan sebahagiannya maut akibat diseksa.


