Sindiket tipu dalam talian : Warga emas rugi RM537,058, wang RM61,812 milik tukang kebun ‘lesap’

TIDAK kira tua atau muda, mereka pasti akan menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.

Itulah nasib dua individu berusia 73 tahun dan 30 tahun yang menjadi mangsa sindiket berkenaan dalam dua kejadian berasingan di Bukit Mertajam dan Kuala Terengganu mengakibatkan kerugian hampir RM600,000.

DI BUKIT MERTAJAM, pesara penjawat awam mengalami kerugian RM537,058 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang mendakwa wanita warga emas itu terlibat pengubahan wang haram, dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata wanita berusia 73 tahun itu, membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada 7 Dis, memaklumkan telah diperdaya dalam kes penipuan tersebut sejak 29 Ogos.

“Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis daripada Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), memaklumkan wanita itu terlibat kes AMLA.

“Suspek memaklumkan terdapat satu akaun bank yang didaftarkan atas nama mangsa di Kangar, Perlis kononnya terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram, sebelum panggilan tersebut disambungkan ke Balai Polis Kangar dan bercakap dengan seorang pegawai polis yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek itu memaklumkan bahawa akaun bank milik mangsa disyaki terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan meminta untuk menyerahkan semua kad ATM bank miliknya bersama nombor pin, dengan cara meletakkan semuanya di perhentian bas berdekatan rumah warga emas itu.

Helmi berkata wanita yang takut itu telah bertindak mengikut semua arahan diberikan, sebelum membuat pemindahan semua wang simpanan mangsa ke dalam akaun bank yang diserahkan kepada suspek kononnya untuk tujuan siasatan.

Beliau memaklumkan mangsa telah membuat pemindahan wang RM537,058 bermula 3 Sept hingga 6 Dis dan semakan dengan pihak bank mendapati wangnya mula dikeluarkan sejak 27 Nov hingga 5 Dis secara berperingkat menggunakan kad ATM di beberapa buah bank di kawasan Lembah Klang.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

DI KUALA TERENGGANU,  seorang tukang kebun kerugian RM61,812 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 30 tahun itu mengetahui tawaran pinjaman wang tersebut menerusi iklan pada laman sosial.

“Mangsa menghubungi nombor pada iklan itu dan dimaklumkan pinjaman diluluskan serta-merta, bagaimanapun perlu membayar sejumlah wang bagi tujuan kos pentadbiran dan yuran guaman,” katanya dalam kenyataan

Azli berkata mangsa membuat 27 bayaran ke enam akaun dari 27 Nov hingga 9 Dis dengan menggunakan wang pinjaman daripada ahli keluarga.

Mangsa membuat laporan polis pada 5.04 petang semalam selepas gagal mendapatkan wang pinjaman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img