Singapura naikkan tarif elektrik,gas mulai hari ini hingga Jun

TARIF  elektrik dan gas di Singapura dinaikkan mulai hari ini hingga Jun, didorong oleh peningkatan harga bahan api, dan dijangka melonjak lebih tinggi dalam bulan-bulan akan mendatang.

Dalam satu kenyataan,  pengendali grid nasional SP Group mengumumkan bahawa tarif elektrik bagi kediaman akan naik sebanyak 2.1 peratus berbanding suku sebelumnya, iaitu kepada 29.72 sen (RM1.04) setiap kilowatt sejam (kWh).

Ini bermakna purata bil elektrik bulanan bagi penduduk flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) 4 bilik akan bertambah sebanyak $1.96 (RM6.84). Serentak itu, City Energy turut mengumumkan kenaikan tarif gas dari April hingga Jun, iaitu dari 23.63 sen (83 sen) setiap kWh kepada 23.89 sen (84 sen) setiap kWh.

Kesemua kadar tarif dan anggaran bil tersebut telah merangkumi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), lapor Berita Harian Singapura.

Dalam kenyataan yang sama, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menjelaskan bahawa kadar tarif terbaru ini sebahagiannya dipengaruhi oleh kenaikan harga bahan api global.

Kenaikan tersebut berpunca daripada tekanan bekalan bahan api dunia ekoran konflik yang masih berlarutan di Asia Barat. Sekitar 95 peratus bekalan elektrik Singapura dijana daripada gas asli yang diimport yang turut merupakan bahan mentah utama bagi penghasilan gas bandar, jelas EMA.

Gas bandar merupakan gas yang dikilangkan untuk kegunaan memasak, memanaskan dan dihasilkan daripada gas asli. Agensi tersebut mengawal selia tarif elektrik Singapura yang disemak setiap tiga bulan berdasarkan kos penjanaan kuasa dan gas asli.

Data terkini (Oktober 2025), menunjukkan 63.4 peratus isi rumah membayar penggunaan elektrik mereka melalui kadar tarif semasa, manakala lebih 36 peratus melanggan pelan dengan peruncit elektrik.

Hanya kurang daripada 0.1 peratus isi rumah membeli bekalan elektrik pada harga borong.

“Peningkatan kos gas asli akan menyebabkan kenaikan harga elektrik dan gas bandar bagi semua pengguna di Singapura,” kata  EMA.

Kesan penuh kenaikan harga bahan api akibat konflik Timur Tengah juga akan berkuat kuasa kemudian.

Tarif setiap suku ditentukan berdasarkan purata kos bahan api dalam tempoh 2.5 bulan pertama suku sebelumnya. Justeru itu, tarif elektrik dan gas bandar bagi tempoh April hingga Jun ditetapkan berdasarkan harga bahan api dari Januari sehingga pertengahan Mac, kata EMA.

“Oleh kerana harga gas asli hanya mula melonjak selepas 28 Februari, tarif elektrik dan gas bandar yang dikawal selia bagi suku kedua 2026 hanya sebahagiannya terjejas oleh kenaikan harga bahan api tersebut,’’ katanya.

Namun, EMA berkata Singapura “berkemungkinan akan menyaksikan kenaikan lanjut dan lebih ketara bagi tarif elektrik serta gas bandar” pada lewat 2026, dengan pengguna dijangka perlu membayar lebih tinggi apabila memperbaharui kontrak elektrik runcit mereka.

Ini kerana harga bahan api “dijangka akan kekal tinggi dalam jangka masa terdekat”, sejajar dengan situasi di Timur Tengah, jelas EMA.

Agensi itu tersebut turut menasihati pengguna dan perniagaan supaya bersedia menghadapi kos tenaga lebih tinggi dan tidak menentu, memandangkan tempoh konflik tersebut sukar diramalkan.

EMA menambah: “Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan keselamatan bekalan.

“Setiap orang boleh memainkan peranan dengan menggunakan peralatan lebih cekap tenaga dan menjimatkan penggunaan tenaga bagi mengurangkan penggunaan mereka. Langkah ini akan membantu merendahkan kos tenaga dan menyumbang kepada daya tahan tenaga Singapura.”

Harga elektrik borong di Singapura telah meningkat sejak konflik di Asia Barat tercetus.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img