Sissy Imann sah bergelar isteri kepada doktor yang pernah merawatnya

PENYANYI Sissy Imann yang mula dikenali dengan lagu `Mungkin Kamu’, memilih doktor yang pernah merawatnya sebagai pasangan hidup selepas pasangan itu selamat dijabkabulkan dalam majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini.

Sissy Imann atau nama penuhnya, Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, dan Dr Zamir Hilman Hamzah, 41, dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa, dengan disaksikan ahli keluarga terdekat serta rakan rapat pasangan mempelai.

Penyanyi yang menyertai program Big Stage musim pertama itu menerima mas kahwin berbentuk seutas gelang emas bernilai RM6,840.

Dalam majlis itu, Sissy Imann menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas tiga dulang daripada pihak pengantin perempuan.

Antara hantaran yang paling mencuri perhatian adalah nombor plat khas kenderaan ‘SIS 5795’, gabungan simbolik nama Sissy serta tahun kelahirannya 1995.

Bagaimanapun, jenis kenderaan yang bakal menggunakan nombor plat tersebut masih dirahsiakan serta wang hantaran tidak didedahkan atas permintaan keluarga.

Sebagai simbol permulaan perjalanan bahagia mereka, pasangan itu turut menerima hadiah percutian bulan madu ke Rome, Italy.

Mengimbau detik perkenalan, pasangan ini dipertemukan apabila Zamir pernah merawat Sissy Imann ketika penyanyi itu mendapatkan rawatan pada awal tahun ini.
Hubungan mereka pada awalnya sekadar antara doktor dan pesakit, perlahan-lahan berkembang menjadi persahabatan yang lebih akrab.

Sissy Imann sebelum ini mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang dalam satu sesi bertemu media sempena pelancaran single terbaharunya berjudul ‘Dengan Kamu’ di Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu.

Single ‘Dengan Kamu’ itu sendiri hadir sebagai sebuah karya peribadi yang sarat emosi tentang proses penyembuhan, belajar mencintai diri dan menghargai insan yang hadir tepat pada waktunya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img