BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei masing-masing akan dituduh dengan lima pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 pada Khamis dan Jumaat.
Bagaimanapun Sofia Rini Buyong, wanita yang dikaitkan dalam satu rakaman video berbual dengan Albert akan menjadi saksi pendakwa.
Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

Beliau memberitahu, Shamsul Iskandar akan menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu menerima suapan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala Albert Tei dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta sama kerana memberi rasuah.
“Bagi satu lagi pertuduhan masing-masing akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Seorang lagi individu dikenali Sofia Rini Buyong tidak dituduh di mahkamah dan diklasifikasikan sebagai saksi dalam kes.
“Dalam tempoh seminggu siasatan saya merakamkan pengharagaan kepada pegawai yang menjalankan tugas dan seramai 32 saksi dipanggil untuk dirakam percakapan tidak termasuk tiga individu (Shamsul, Albert, Sofia) terbabit,” katanya.
Azam berkata, SPRM telah ambil tidakan proaktif dan segera membuka kertas siasatan pada 26 November lalu.
‘’Kes dikategorikan sebagai berkepentingan awam kerana melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dan mendapati liputan pelaporan yang meluas.
“Kita telah buka kertas siasatan di bawah Akta SPRM 2009. Atas keperluan itu saya arahkan jalankan siasatan dan keluarkan kenyataan bahawa kes perlu disiapkan dalam tempoh seminggu,” katanya.


