SPRM, agensi penguat kuasa antarabangsa tumpaskan jenayah siber Forum LeakBase

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama agensi penguatkuasaan undang-undang dari 14 negara berjaya melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersepadu yang menyasarkan individu-individu yang dikaitkan dengan forum kebocoran data jenayah siber dikenali sebagai LeakBase.

Operasi itu yang melibatkan tangkapan, serbuan rumah serta tindakan `knock-and-talk’ merentasi pelbagai bidang kuasa itu telah diketuai dan diselaraskan oleh Europol di ibu pejabatnya di The Hague, Belanda.

Menurut SPRM, operasi itu yang diadakan Selasa lalu menghimpunkan rakan penguatkuasaan antarabangsa berjaya menumpaskan infrastruktur jenayah siber yang berkait dengan LeakBase serta melumpuhkan rangkaian pengguna globalnya.

Katanya, antara agensi penguatkuasaan yang terlibat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI), US Department of Justice, National Crime Agency (United Kingdom), Kosovo Police, Police Scotland.

Turut terlibat, kata kenyataan itu, Polícia Judiciária (Portugal), Australian Federal Police, Federal Criminal Police Office (Jerman), Policía Nacional (Sepanyol), Federal Police (Belgium) serta Central Cybercrime Bureau (Poland).

“Sebagai sebahagian daripada operasi tersebut, Bahagian Operasi Khas SPRM telah melaksanakan waran geledah di sebuah syarikat penyedia pengehosan web (web-hosting solutions) yang terletak di Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan forensik siber mengesahkan bahawa forum LeakBase telah beroperasi secara aktif melalui pelayan yang dihoskan di premis tersebut, sekali gus membawa kepada penyitaan bahan bukti digital serta penutupan domain forum berkenaan,” kata kenyataan SPRM yang dikeluarkan hari ini.

Menurut SPRM, Forum LeakBase yang aktif sejak tahun 2021, berfungsi sebagai platform dalam talian untuk memperdagangkan data curi yang digunakan dalam aktiviti jenayah siber.

Siasatan mendapati platform tersebut mengandungi sejumlah besar data akses akaun yang telah dikompromi, termasuk gabungan emel dan kata laluan yang sering digunakan untuk pengambilalihan akaun, penipuan serta aktiviti jenayah siber lain.

Forum tersebut mempunyai lebih daripada 142,000 ahli berdaftar dan melebihi 215,000 mesej, dengan arkib pangkalan data yang digodam daripada pelbagai serangan siber berprofil tinggi.

Pengguna forum tersebut boleh memperdagangkan maklumat yang dicuri termasuk nombor kad kredit dan debit, maklumat perbankan, nama pengguna, kata laluan serta data sensitif peribadi dan korporat yang lain.

“Penglibatan SPRM dalam operasi ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang di peringkat antarabangsa dalam memerangi jenayah siber serta penyalahgunaan data merentasi sempadan.

“Suruhanjaya ini akan terus bekerjasama rapat dengan rakan penguatkuasaan global bagi melindungi ekosistem digital serta memelihara integriti sistem kewangan dan maklumat,” kata kenyataan itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img