SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) optimis kerjasama yang terjalin antara agensi itu dengan institusi pengajian tinggi termasuk HELP University mampu memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan antirasuah serta pembanterasan jenayah ekonomi di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama antara SPRM dan HELP University menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini menandakan fasa baharu hubungan dua hala yang telah terjalin sejak tahun 2010, sekali gus memperluas skop kerjasama melangkaui latihan akademik sedia ada.
Menurut beliau, kerjasama tersebut memainkan peranan kritikal dalam menyokong agenda pencegahan rasuah negara, bukan sahaja dari sudut penguatkuasaan, malah melalui pendidikan, pembangunan bakat dan pemupukan nilai integriti.
“Sejak termeterainya perjanjian persefahaman pertama 16 tahun lalu, seramai 29 pegawai SPRM telah mengikuti Program Sarjana Pengurusan Jenayah Ekonomi di HELP University dengan biasiswa penuh.
“Program ini memberi impak besar kepada pembangunan akademik SPRM dan melahirkan alumni yang kini memegang jawatan penting dalam organisasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan HELP University di M Hotel and Resort, Kuala Lumpur hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Canselor HELP University, Datuk Profesor Dr Paul Chan; Naib Canselor, Profesor Dr Liew Teik Kooi serta Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi HELP University, Datuk Seri Profesor Dr Akhbar Satar.
Azam berkata, melalui MoU baharu itu, kedua-dua pihak akan meneroka bidang kerjasama baharu termasuk penawaran program pendidikan tinggi yang memfokuskan tatakelola, integriti, khidmat perundingan serta perkongsian kepakaran dalam mencegah salah guna kuasa dan penyelewengan.
Katanya, sebagai langkah awal, pegawai SPRM terpilih akan mengikuti program pengajian sarjana dan kedoktoran menerusi laluan APEL.Q di HELP University yang dijadual bermula pada penghujung Januari 2026.
Beliau turut menegaskan komitmen SPRM menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) untuk memperkasa agenda pembelajaran 5.0, selaras dengan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACS), termasuk pembangunan modul e-pembelajaran dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, Paul Chan berkata, kerjasama antara SPRM dan HELP University mencerminkan komitmen nasional yang matang dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan keupayaan kepimpinan negara.
Menurutnya, dalam era jenayah ekonomi yang semakin kompleks dan bersifat rentas sempadan, tiada satu institusi mampu bertindak secara bersendirian tanpa sokongan ekosistem pendidikan dan profesional yang kukuh.
“Kerjasama ini bukan sekadar melatih individu, tetapi membina ekosistem kepimpinan berintegriti di peringkat nasional yang berpotensi menjadi model kepada rantau dan dunia,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini lebih 26 pegawai SPRM telah menamatkan pengajian dalam program Sarjana Pengurusan Jenayah Ekonomi di HELP University, sekali gus membuktikan keberkesanan kerjasama berkenaan.
Tambahnya, sempena ulang tahun ke-40 HELP University pada tahun ini, kerjasama tersebut membawa makna istimewa dalam merealisasikan misi universiti itu untuk melahirkan insan berilmu, beretika dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
“Integriti bukan sekadar ideal, sebaliknya aset strategik negara. Melalui kerjasama ini, Malaysia menghantar isyarat jelas bahawa tadbir urus dan kepimpinan beretika kekal menjadi teras masa depan negara,” katanya.


