SPRM kemuka empat cadangan penambahbaikan tatakelola Persatuan Pegawai Kanan Malaysia

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur telah mengemukakan empat cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Persatuan Pegawai Kanan Malaysia (PERKASA) bagi memperkukuh pengurusan sumbangan dana dan tajaan daripada syarikat atau entiti luar.

Dalam kenyataan hari ini SPRM berkata,  antara cadangan itu ialah memastikan permohonan sumbangan oleh PERKASA tidak ditujukan kepada syarikat yang mempunyai urusan rasmi secara langsung dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan program yang dibiayai melalui sumbangan pula wajar bersifat inklusif supaya manfaatnya tidak tertumpu hanya kepada pegawai kanan tetapi turut dinikmati komuniti secara meluas.

‘’SPRM turut mencadangkan, setiap permohonan sumbangan perlu mendapat kelulusan rasmi Ketua Pengarah JKDM sebelum disalurkan kepada PERKASA bagi memastikan proses permohonan, penilaian dan penerimaan sumbangan dilaksanakan secara telus serta dipantau di peringkat institusi,’’ kata kenyataan itu.

Kesemua syor itu telah dibentangkan oleh SPRM KL diketuai oleh Pengarahnya, Mohamad Zakkuan Talib kepada Presiden PERKASA Pusat, Mohd Asri Seman di Bahagian Pengurusan Pematuhan, Presint 2 , Putrajaya kelmarin.

Selain itu, menurut kenyataan Tatacara Pengurusan Sumbangan Dana dan Tajaan sedia ada juga perlu ditambahbaik dengan memperincikan kriteria sumbangan yang dibenarkan bagi memastikan pengurusan dana persatuan diuruskan dengan lebih telus, berintegriti dan berakauntabiliti.

Mohamad Zakkuan berkata, syor yang dikemukakan SPRM KL itu diharap mampu memperkasakan sistem tatakelola PERKASA sekali gus mengukuhkan integriti dan meningkatkan keyakinan terhadap pengurusan sumbangan dana persatuan.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, PERKASA menyambut baik cadangan SPRM itu sepenuhnya kerana ia menepati prinsip integriti yang tegas dan bersedia melaksanakan kesemua cadangan penambahbaikan yang dikemukakan tanpa kompromi.

Pada sesi pembentangan itu, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola sebagai simbolik persetujuan melibatkan antara PERKASA dan SPRM KL.

Hadir sama Ketua Cawangan Integriti JKDM, Azian Umar; Timbalan Presiden PERKASA Pusat, Ab Halim Assar; Setiausaha Agung PERKASA Pusat, Saiful Azmi Yusof; Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM KL, Noor Azeana Azis  dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM KL, Mohd Hafifi Rahmat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img