AGENSI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik langkah Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang akan melaksanakan rombakan menyeluruh pelan anti rasuah sebagai usaha membanteras ketirisan dan salah guna kuasa dalam sistem perolehan pertahanan negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pendirian tegas kerajaan berhubung perkara itu amat dinantikan, khususnya apabila ia dinyatakan secara jelas oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Ini satu kenyataan yang saya amat alu-alukan. Saya secara peribadi memang menunggu kenyataan seperti itu daripada seorang Menteri Kerajaan,” katanya ketika ditemui media di M Resort and Hotel, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut beliau, SPRM melihat langkah tersebut sebagai satu isyarat penting bahawa kerajaan serius untuk melakukan pembersihan secara menyeluruh, bukan sahaja terhadap kes-kes yang sedang disiasat ketika ini, tetapi juga terhadap isu-isu struktur yang telah lama wujud dalam MINDEF.
Azam berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pertahanan dalam masa terdekat, selain bertemu Ketua Setiausaha kementerian berkenaan bagi membincangkan secara mendalam pelbagai isu berkaitan perolehan.
“Selepas keadaan ini reda, mungkin dalam tempoh terdekat atau minggu hadapan, saya akan membuat kunjungan hormat kepada beliau dan juga Ketua Setiausaha untuk membincangkan lebih lanjut berkenaan isu perolehan di MINDEF,” katanya.
Beliau menegaskan, siasatan SPRM tidak terhad kepada kes tertentu semata-mata, sebaliknya mengambil pendekatan lebih menyeluruh termasuk meneliti peraturan, prosedur serta kelemahan sistem yang membuka ruang kepada ketirisan.
“Kita tidak boleh melihat hanya isu yang kita siasat sekarang. Kita juga perlu melihat beberapa isu sedia ada dalam MINDEF yang memerlukan penelitian, termasuk aspek pembersihan dalaman seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri,” katanya.
Sebelum ini, MINDEF memaklumkan akan melaksanakan rombakan pelan anti rasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa dalam sistem pertahanan nasional tahun ini.
Mohamed Khaled berkata, segala proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik.
Katanya, perkara itu menjadi antara empat teras pelarasan MINDEF pada 2026, antaranya berkaitan membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional.


