SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan sasaran tahun 2026 sebagai medan untuk bertindak lebih `Berani dan Radikal Perangi Rasuah’, dengan menegaskan bahawa slogan berkenaan bukan sekadar retorik, sebaliknya menuntut ketangkasan, fokus dan disiplin tinggi sebagaimana diperlukan pada setiap bidikan di lapang sasar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perjuangan antirasuah memerlukan setiap tindakan dilaksanakan berasaskan fakta tepat, strategi yang tajam serta keberanian tidak berbelah bahagi demi memastikan integriti dan kepentingan negara terus terpelihara.

“Seperti di lapang sasar ini, setiap bidikan memerlukan ketepatan dan ketenangan. Begitu jugalah dalam perjuangan antirasuah, setiap tindakan kita mesti berasaskan fakta tepat, strategi yang tajam dan keberanian tidak berbelah bahagi,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Menembak SPRM Tahun 2026 di Lapang Sasar, Maktab Penjara Malaysia, di Kajang hari ini.
Yang turut hadir Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri suruhanjaya itu.
Menurut Azam, kemahiran dan pengendalian senjata api perlu diberi penekanan serius berikutan operasi kini semakin mencabar serta melibatkan kes bersindiket berisiko tinggi, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan maksimum dalam kalangan pegawai.
Pertandingan itu menggunakan pistol jenis Glock 19 dan turut memperkenalkan format ujian jarak baharu antara 15 hingga 20 meter berbanding jarak tipikal 10 meter sebelum ini, sebagai langkah memastikan pegawai sentiasa selangkah ke hadapan dalam menghadapi sebarang kemungkinan di lapangan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Zuhairie Abu Bakar berkata, disiplin dalam penggunaan senjata api menjadi asas utama profesionalisme pegawai penguat kuasa.
“Disiplin dalam penggunaan senjata api mencerminkan profesionalisme bukan hanya tepat pada sasaran, tetapi tepat dalam pematuhan peraturan,” katanya.
Bagi kategori Centre Fire Individu Lelaki, R Sriraman dari SPRM Selangor muncul juara, diikuti Mahrodi Mohd Saidin dan Mohd Fadzley Mohd Jalil dari Bahagian Siasatan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Kategori Centre Fire Individu Wanita pula, Zatun Najmiah Mohd Sabri dari Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) meraih tempat pertama manakala tempat kedua dimenangi oleh Haryanti Mohamed Isa dari Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) manakala Nurzahidah Yaacop dari Bahagian Keselamatan di tempat ketiga.
Kategori Jatuhan Piring pula menyaksikan Bahagian Forensik menjuarai acara, diikuti Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) di tempat kedua dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) di tempat ketiga.
Bagi acara Berkumpulan Keseluruhan Centre Fire, Bahagian Siasatan muncul juara, diikuti SPRM Negeri Sembilan di tempat kedua dan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) di tempat ketiga.
Dalam kategori VIP Individu, wakil Pengarah SPRM Kedah, Mansur Mohamad meraih tempat pertama, diikuti Zuhairie di tempat kedua serta Azam di tempat ketiga.
Kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform mengasah kemahiran teknikal dan taktikal pegawai, malah mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan setiap anggotanya sentiasa bersedia, berdisiplin dan profesional dalam melaksanakan amanah memerangi rasuah.


