SEORANG setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pertubuhan berjumlah kira-kira RM4.2 juta.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 7 Februari 2026 dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Ezrene Zakariah pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik sebuah syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024.
“Suspek dipercayai meluluskan serta memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua buah syarikat lain bagi tujuan pelaburan, di mana individu dalam pengurusan persatuan disyaki mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit,” kata sumber itu.
Sumber itu menambah, siasatan turut menjurus kepada unsur penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan di Gaza.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa.


