KEHILANGAN insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi namun itu hakikat yang terpaksa diterima pelakon Amyza Aznan dan suami, Khairil Idzhar Md Nazir.
Ujian yang berat ketika Ramadan baru muncul beberapa hari ini membuatkan Khairil Idzhar menerima dengan reda takdir yang tertulis buat keluarga mereka.

Anak sulung mereka, Andre Mikhail, 19, menghembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Tempoh setahun itu menjadi saksi kesetiaan seorang ayah yang tidak pernah meninggalkan sisi anaknya.

Menurut Khairil Idzhar, keadaan Andre semakin kritikal sejak Ahad lalu dan pihak keluarga telah dimaklumkan lebih awal untuk bersedia.
“Semalam lagi kami dah diberitahu keadaan anak agak kritikal. Kami memang sentiasa tunggu saja sehingga habis,” katanya.
Dalam perkongsian bersama media, Khairil Idzhar mendedahkan Andre berada dalam keadaan seperti ditidurkan walaupun masih sedar, namun tidak lagi mampu berbicara sehingga ke nafas terakhir.
“Dia seorang anak yang sangat baik. Kami tak dapat bercakap banyak dengan dia.
“Dia seperti ditidurkan walaupun sedar dan tak dapat bercakap sehinggalah nafas terakhir dia,” dedahnya.
Dalam kepiluan itu, Khairil Idzhar tetap bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan dan anaknya pergi dalam keadaan yang tenang.
“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Perginya anak yang soleh ini terlalu mudah bagi saya kerana dia pergi, saya ada di sebelah,” ujarnya lagi.
Sepanjang setahun Andre melawan kanser, Khairil sentiasa berada di sisi walaupun dirinya sendiri kurang sihat.
“Setahun dia melawan sakit kanser dan saya bersama menemani dia walaupun keadaan saya pun tidak berapa sihat.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dapat membantu dia menangani sakitnya,” ungkapnya.
Tambahnya lagi, pemergian anaknya pada bulan Ramadan menjadi antara kekuatan untuk dia terus reda menerima ketentuan.
“Itu yang menguatkan saya, perginya anak saya di bulan Ramadan. Alhamdulillah,” ujar ayah kepada tiga cahaya mata itu.
Andre juga tidak meninggalkan pesan panjang. Kata Khairil Idzhar, anaknya cuma tertanya-tanya mengapa dirinya semakin tidak kuat dan tidak sihat.
“Saya cakap itulah prosesnya dan dia faham,” kongsinya.
Semalam, Amyza menerusi hantaran di Insta Story miliknya memaklumkan anak sulung mereka itu meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
Amyza turut memohon kepada orang ramai untuk sedekahkan al-Fatihah buat anaknya.
“Assalamualaikum dengan dukacita anak saya Andre Mikhail bin Khairil Izhar telah pulang ke negeri abadi.
“Minta semua sedekahkan al-Fatihah kepada anak saya,” tulisnya.
Media sebelum ini melaporkan Amyza, 51, memohon orang ramai mendoakan kesihatan anak sulungnya yang semakin kritikal di Hospital Kuala Lumpur disebabkan penyakit dihidapinya itu.
Tahun lalu, Amyza mengumumkan bahawa Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.


