Suami belasah isteri hanya kerana mengidam ayam gepuk

SEORANG wanita cedera akibat dibelasah suaminya hanya kerana mengidam dan meminta dibelikan ayam gepuk, di sebuah flat di Jalan Ikan Ayu, Cheras pada Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang juga suri rumah mendakwa dimarahi sebelum dipukul oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.03 malam hari yang sama.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum meminta suaminya membelikan makanan berkenaan kerana mengidam.

“Mangsa mendakwa permintaan tersebut menyebabkan suspek berang sebelum memaki hamun isterinya.

“Suspek kemudian bertindak mencekik leher mangsa serta mengambil sebilah pisau sayur dan meletakkannya di bahagian leher wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek turut menampar muka serta menumbuk kepala mangsa dalam kejadian tersebut.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan leher sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Mohd Rosdi, pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img