SEPASANG suami isteri warga emas dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dilaporkan terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Rompin dekat Kampung Ayau, Kuala Rompin hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki pasangan itu pada jam 5.40 petang ini.
“Berdasarkan siasatan awal, kemungkinan dua mangsa dipercayai suami isteri dan pihak bomba telah mula membuat pencarian di lokasi kejadian berlaku.
“Sungai arus agak deras, tapi pihak polis dan Bomba Rompin dalam usaha mencari kenderaan serta mangsa yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan malam ini, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang.
“Sebaik sahaja tiba, kita dapati sebuah kereta telah terjunam ke dalam sungai anggaran kedalaman 10 meter,” katanya.
Menurutnya, ketika itu air sedang pasang dan arus agak kuat, menyebabkan operasi awal menjadi lebih mencabar.
Beliau berkata, setakat 8 malam tadi operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.


